Ambil Serius Wabak Rabies Di Sarawak

ISNIN, 20 JUN 2022

SIBU: Masyarakat diingatkan agar tidak alpa dalam usaha memerangi wabak Rabies atau penyakit anjing gila di Sarawak.

Dalam membuat seruan tersebut, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian menegaskan, para pemilik harus memastikan anjing peliharaan mereka diberi suntikan vaksin Rabies pada setiap tahun.

“Kita tidak tahu, anjing kita berkemungkinan dijangkiti Rabies dan ini akan mengundang bahaya terutama kepada anak-anak kecil.

“Bagi anjing yang tidak diberi vaksin, ia mampu menyebabkan kematian pada kadar 99 peratus apabila menggigit seorang manusia.

“Dalam pada itu, saya harus menekankan kepentingan mendapatkan suntikan vaksin tersebut pada setiap tahun bagi mengelakkan kes kematian akibat wabak Rabies terus berlaku,’’ jelasnya pada program Kesedaran Wabak Rabies dan Wabak African Swine Flu (ASF) serta Majlis Ngiling Bidai di Rumah Bunsie Tiboh di sini pada Ahad.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak itu turut mengingatkan orang ramai agar bergegas ke hospital yang berhampiran bagi mendapatkan rawatan lanjut sekiranya digigit anjing.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak atas komitmen yang diberikan sepanjang masa untuk menangani wabak Rabies walaupun fokus negeri masih tertumpu kepada isu pandemik COVID-19.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Michael Tiang Ming Tee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Chieng Jin Ek; Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Kaunselor Sempurai Petrus Ngelai; Timbalan Pengerusi MDLBS, Wong Ching Yong serta Tuai Rumah Bunsie Tiboh. -Edisi UKAS

add comment