Penghasilan Minyak Daripada Lumut Kini Masih Dalam Kajian, Dijangka Dapat Meningkatkan Hasil Ekonomi Sarawak

ISNIN, 20 JUN 2022

KUCHING: Selepas hidrogen dan digital, satu lagi perkara yang akan diketengahkan sebagai inisiatif untuk meningkatkan hasil ekonomi dan pendapatan Sarawak. 

Yang di Pertua PBB Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perkara ini merangkumi penghasilan minyak daripada bahan semulajadi dan masih di peringkat kajian. 

Jelas beliau lagi, bahan semulajadi ini mempunyai kaitan dengan lumut yang boleh menghasilkan minyak bagi keperluan kapal terbang. 

“Minyak daripada hasil bahan semulajadi. Ini, saya sedang kaji. Hidrogen sudah, digital sudah. Ini lagi yang belum. 

“Saya tidak dapat memberitahu perkara ini dahulu dengan anda. Biar saya buat kajian dulu. 

“Kalau ini jadi (minyak) daripada lumut, mungkin kapal terbang pun terpaksa menggunakan minyak ini,” jelas beliau. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam penggulungan dan penangguhan Perhimpunan PBB Sarawak Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad. 

Ujar Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari yang juga Premier Sarawak lagi, jika hasil kajian itu positif dan berjaya, ia akan memberi lagi pendapatan dan membawa masa depan yang cerah kepada Sarawak. 

“Dalam teori ekonomi terdapat tiga perkara penting  iaitu perbelanjaan, pelaburan dan simpan. 

“Sebab itu juga saya membuat Dana Berdaulat kerana simpan untuk masa depan,” ujar beliau lagi.

Tegas beliau, Sarawak berhati-hati dalam aspek pengurusan kewangan dengan tidak mahu dibelenggu dengan hutang sebaliknya mempunyai pendapatan yang tinggi bagi meningkatkan ekonomi rakyat dan negeri. 

Mengambil contoh negara Sri Lanka yang kini berdepan dengan krisis ekonomi apabila negara mempunyai banyak hutang dan tidak mahu perkara ini berlaku ke atas negeri Sarawak. 

Hadir sama Timbalan Yang di Pertua Parti PBB merangkap Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang di Pertua Kanan Dato Sri Michael Manyin Jawong dan Dato Sri Fadillah Yusof, Naib Yang di Pertua Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Datuk Julaihi Narawi, Dr Annuar Rapae, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Ketua Pergerakan Wanita PBB Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Ketua Pemuda PBB Sarawak Miro Simuh, Pengerusi Tetap Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Setiausaha PBB Sarawak Datuk Alexander Nanta Linggi. -EDISI UKAS

add comment