Projek Menara Telekomunikasi SMART Akan Siap Pada 2023

ISNIN, 20 JUN 2022

KUCHING: Projek menara telekomunikasi di bawah Sarawak Multimedia Authority Rural Telecommunication (SMART) di seluruh Sarawak akan siap pada tahun 2023.

Yang di Pertua PBB Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, projek SMART ini akan dilengkapi dengan perkhidmatan telekomunikasi 4G.

“Semua ini (menara telekomunikasi) akan kita buat dan sediakan perkhidmatan 4G di seluruh Sarawak termasuk Belaga, Trusan dan Kapit.

“Kita akan tingkatkan usaha pembinaannya dan dijangka akan siap semuanya pada tahun 2023,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam penggulungan dan penangguhan Perhimpunan PBB Sarawak Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad. 

Tambah Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, sebanyak RM2 bilion akan diperuntukan untuk memastikan projek ini siap pada tahun 2023. 

Dalam satu lagi inisiatif Sarawak, beliau yang juga Premier Sarawak memberitahu bas sekolah percuma yang diperkenalkan sebelum ini juga akan turut diperluaskan di seluruh Sarawak sekiranya sistem yang digunapakai itu berjalan lancar. 

Katanya, ini sememangnya dalam agenda PBB Sarawak dalam memberikan kemudahan kepada rakyat Sarawak khususnya anak-anak Sarawak.

“Sebelum ini tiada perkhidmatan bas sekolah percuma. Pengenalan bas sekolah percuma sebelum ini di Kuching, Miri dan Sibu hanya percubaan yang mempunyai kepadatan penduduk. 

“Kalau sistem ini sudah bagus dan berjalan dengan baik, semua Sarawak akan diberikan bas sekolah percuma,” ujarnya. 

Tambah beliau lagi, selain bas sekolah percuma turut akan diperluaskan perkhidmatannya ialah perhidmatan bas awam dengan tambang RM1 yang mana ketika ini telah dilaksanakan di Kuching dan Miri. 

Hadir sama Timbalan Yang di Pertua Parti PBB merangkap Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang di Pertua Kanan Dato Sri Michael Manyin Jawong dan Dato Sri Fadillah Yusof, Naib Yang di Pertua Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Datuk Julaihi Narawi, Dr Annuar Rapae, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Ketua Pergerakan Wanita PBB Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Ketua Pemuda PBB Sarawak Miro Simuh, Pengerusi Tetap Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Setiausaha PBB Sarawak Datuk Alexander Nanta Linggi. -EDISI UKAS

add comment