RM64 Bilion Diperlukan Untuk Capai Pertumbuhan KDNK Dalam 6 Hingga 8 Peratus Setahun

ISNIN, 20 JUN 2022

KUCHING: Dalam mencapai negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030, kadar pertumbuhan ekonomi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sarawak perlu dalam lingkungan enam hingga lapan peratus setahun. 

Menurut Yang di Pertua PBB Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, kalau hendak mencapai jumlah peratusan KDNK itu jumlah suntikan bajet ke atas ekonomi negeri ialah RM64 bilion. 

“Jumlah RM64 bilion saya telah congak. Kalau 8 tahun sebanyak RM10 bilion setahun dan ini bermakna jumlah keseluruhan RM80 bilion. Jumlah ini sudah mencapai lebih RM64 bilion. 

“Tapi, bolehkah kita mendapat pendapatan lebih RM10 bilion setahun? Jadi, saya fikir boleh kerana dasar pembangunan kita ialah kita banyak sumber tetapi sekarang ini tambah nilai kita kurang. 

“Sebab itulah kita bercakap hal berkaitan hidrogen. Ini kerana pada tahun 2025 hingga 2026, kita akan mengeluarkan 100,000 tan hidrogen,” ujarnya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam penggulungan dan penangguhan Perhimpunan PBB Sarawak Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad. 

Tambah Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari lagi, hidrogen ini akan dibeli oleh orang Korea yang membolehkan Sarawak menambah pendapatan menerusi cukai jualannya.

Mengulas lanjut, Premier Sarawak turut memberitahu keadaan ini membolehkan peluang pekerjaan bertambah khususnya dalam bidang jurutera dan pembantu teknikal.

Ini selepas ada pelabur dari luar negara telah bersetuju melabur di dalam industri membuat pemisahan gas atau gas zink di Sarawak.

“Ini betul dan kita telah meluluskan tempat lojinya. Dua pelan satu loji pelaburannya ialah $6 bilion dolar di kali dengan empat menjadikannya RM24 bilion. 

“Sebuah lagi syarikat yang membuat perkara yang sama kerana tempat lain tidak ada dan kita sahaja yang ada gas itu dengan nilai harga yang sama. 

“Jumlah $6 bilion ini kali dengan empat menjadikannya RM24 bilion dan campur dua dengan jumlahnya RM48 bilion,” katanya. 

Tambah beliau lagi, dalam masa 5 tahun loji itu akan siap di Kidurong, Bintulu dan memerlukan 1,200 pekerja mahir dalam industri gas ini. 

Hadir sama Timbalan Yang di Pertua Parti PBB merangkap Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang di Pertua Kanan Dato Sri Michael Manyin Jawong dan Dato Sri Fadillah Yusof, Naib Yang di Pertua Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Datuk Julaihi Narawi, Dr Annuar Rapae, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Ketua Pergerakan Wanita PBB Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Ketua Pemuda PBB Sarawak Miro Simuh, Pengerusi Tetap Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Setiausaha PBB Sarawak Datuk Alexander Nanta Linggi. -EDISI UKAS

add comment