Sokong GPS Pada PRU15 Untuk Kembalikan Hak-Hak Sarawak

ISNIN, 20 JUN 2022

SIBU: Masyarakat Sibu diseru agar menyokong Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk meneruskan agenda mengembalikan hak-hak Sarawak yang terhakis.

Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Profesor Dr. Sim Kui Hian menegaskan, GPS melalui calon-calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) perlu memenangi kerusi Parlimen Sibu dan juga Lanang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang bagi memperjuangkan hak negeri ini di peringkat parlimen.

“Kemenangan tersebut akan dapat memberikan lebih kuasa kepada GPS untuk mengembalikan hak Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terutamanya dalam perihal mendapatkan autonomi pendidikan dan kesihatan,” jelasnya pada Majlis Upacara Pelantikan Bersama SUPP Cawangan-Cawangan Bawang Assan dan Pelawan serta Program Nigling Bidai di Hotel Kingwood di sini pada Ahad.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak memberitahu, autonomi ke atas bidang pendidikan penting untuk memudahkan beberapa usaha seperti mendapatkan 90 peratus kuota warga Sarawak sebagai tenaga guru, mendapat sukatan pelajaran sendiri serta perkara berkaitan pembinaan sekolah.

Dalam perkembangan lain, Presiden SUPP itu berkata, beliau akan kembali ke Sibu bersama Premier Sarawak pada 1 Julai depan untuk membincangkan pembangunan semula kawasan berkenaan.

“Program ‘Urban Renewal’ ini akan membawa arus pembangunan secara besar-besaran ke Sibu sebagai menunjukkan komitmen dan penghargaan GPS atas sokongan rakyat tempatan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas,’’ tambahnya lagi. 

Antara yang turut hadir pada program tersebut ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis; Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Michael Tiang Ming Tee, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek; Ahli Dewan Negara, Senator Robert Lau Hui Yew serta Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu, Kaunselor Clarence Ting. – Edisi UKAS

add comment