Tiada Diskriminasi Dalam Ekonomi Baru, Kepandaian Dan Bakat Faktor Utama – Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari

ISNIN, 20 JUN 2022

KUCHING: Dalam dunia ekonomi baru, tiada istilah diskriminasi keterlibatan dalam dunia pekerjaan. 

Menurut Yang di Pertua PBB Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, dunia ekonomi baru ini memerlukan kepandaian dan bakat tanpa memilih sama ada lelaki atau wanita. 

“Sebenarnya digital ini siapa yang pandai dia yang dapat. Digital tidak tahu wanita atau lelaki. 

“Sebab itu ekonomi baharu ini berkehendakan bakat. Sama ada pandai atau tidak pandai.

“Sebab itu ekonomi baru tidak ada diskriminasi,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam penggulungan dan penangguhan Perhimpunan PBB Sarawak Ke-15 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Ahad. 

Dalam pada itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari yang juga Premier Sarawak turut memberitahu Kerajaan Sarawak memberi peluang kepada wanita untuk terlibat sama dalam pentadbiran negeri.

“Kalau wanitanya jurutera, dia perlu berani mendaki. Tidak hanya duduk di pejabatnya .

“Apabila anda bercakap tentang jantina, ia bergantung pada bakat anda dan sama ada anda mahu mengambil risiko. 

“Ekonomi baharu berdasarkan ekonomi digital mereka tidak mengenali di mana anda ada lelaki atau wanita.

“Sebab itu saya kata, ekonomi baru tidak mendiskriminasi jantina,” ujar beliau. 

Tambah beliau lagi, semestinya setiap wanita dan lelaki mempunyai kekuatan masing-masing dalam mengharungi ekonomi baru pada hari ini. 

Mengambil contoh Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Miri dan Pengurus Besar Lembaga Air Kuching yang disandang wanita serta jawatan Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi bagi kuota wanita. 

Hadir sama Timbalan Yang di Pertua Parti PBB merangkap Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Naib Yang di Pertua Kanan Dato Sri Michael Manyin Jawong dan Dato Sri Fadillah Yusof, Naib Yang di Pertua Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Datuk Julaihi Narawi, Dr Annuar Rapae, Datuk Roland Sagah Wee Inn, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Ketua Pergerakan Wanita PBB Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Ketua Pemuda PBB Sarawak Miro Simuh, Pengerusi Tetap Tan Sri Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar dan Setiausaha PBB Sarawak Datuk Alexander Nanta Linggi. -EDISI UKAS

add comment