Anyi Komited Membantu Anak-Anak DUN Ngemah Melanjutkan Pelajaran

SELASA, 21 JUN 2022

SIBU: Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) telah menganjurkan Majlis Ngiling Bidai SDNU Seduan bertempat di kediaman Ngali Kampung Jeriah pada Ahad.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ngemah, Anyi Jana serta isteri bersama 100 orang tetamu.

Dalam ucapannya, Anyi memberitahu, penganjuran majlis seperti ini amat bertepatan dengan dengan peranan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam memartabatkan serta mengekalkan kebudayaan Dayak khasnya di kawasan bandar.

Selain itu, Anyi berkata beliau akan terus bekerjasama dengan pihak NGO khasnya SDNU dalam membantu dari segi pendidikan anak-anak dan Pusat Khidmat ADUN Ngemah akan memberi bantuan ‘one-off’ kepada anak-anak di DUN Ngemah yang melanjutkan pengajian mereka ke peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda.

SDNU di kawasan Sibu sebelum pandemik COVID-19 banyak melaksanakan program seperti program kebudayaan, hari keluarga, penyampaian insentif akademik dan juga program berbentuk motivasi.

Turut hadir Pengerusi SDNU Sibu Chambai Lindong, Ketua Cawangan SDNU Seduan merangkap Pengerusi Penganjur Ngali Genam, Penyelia UKAS Bahagian Sibu Jelani Ajang, Pemanca Komuniti Iban Daerah Selangau Mathew Ganggang, Pemanca Komuniti Cina Daerah Kanowit Leong Khing Hee dan Sarjan Bidat.-EDISI UKAS

add comment