Data Besar Sumber Bernilai Tinggi, Pacu Kelesterian Alam Sekitar Dan Tenaga

SELASA, 21 JUN 2022

KUCHING: Kerajaan Sarawak mempunyai matlamat yang tinggi terhadap masa depan dalam sektor digital di negeri ini.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak akan menjadi masyarakat yang berkembang maju didorong oleh data dan inovasi.

Jelasnya, data adalah sumber bernilai tinggi dan boleh diperbaharui yang memberikan nilai ekonomi dan memacu alam sekitar serta tenaga sekaligus memainkan peranan penting dalam kelestarian alam sekitar dan tenaga bagi melindungi sumber alam semula jadi.

Beliau memberitahu, ia juga akan membolehkan kemampanan dan keselamatan alam sekitar dengan memberi peluang kepada dunia untuk lebih memahami permintaan terhadap tenaga, makanan dan air.

“Data besar berfungsi dalam penguatkuasaan kawal selia di seluruh dunia menerusi peyimpanan rekod, mencapai matlamat tenaga boleh diperbaharui sekaligus meningkatkan standard kemampanan dalam semua sektor.

“Contohnya dalam aplikasi data besar untuk pertanian adalah kritikal memandangkan peningkatan dari segi kadar purata penggunaan sumber dan kekurangan sumber.

“Justeru, data besar amat diperlukan dalam mengurus cabaran dan isu kemampanan alam sekitar dan tenaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Selasa.

Sementara itu, Premier Sarawak menambah, IDECS telah menjadi acara utama antarabangsa Kerajaan Sarawak sebagai platform untuk berkongsi idea baharu, membangunkan strategi sekaligus menangani isu dan cabaran untuk memajukan ekonomi digital yang mampan.

Bertemakan “Decoding Big Data for Environmental & Energy Sustainability” tahun ini katanya adalah selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 serta meneruskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) baharu dalam era digital.

Tambah Premier Sarawak lagi, transformasi digital adalah kunci ke arah peningkatan produktiviti dan kecekapan yang memfokuskan kepada penstrukturan semula dan mempelbagaikan ekonomi kepada industri hiliran bernilai tinggi sambil mewujudkan masyarakat yang berkembang maju.

“Kita perlu menerima sepenuhnya transformasi digital untuk memaksimumkan nilai ekonomi dalam persekitaran perniagaan global yang dinamik dan tidak dapat diramal.

“Strategi pembangunan bukan sahaja mengenai pertumbuhan ekonomi malah ia juga mengenai meningkatkan kekayaan dan kemakmuran secara saksama dan mengekalkan kelestarian alam sekitar untuk semua rakyat Sarawak,” katanya lagi.

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr. Hazland Abang Hipni, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan), Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Dr. Sabariah Putit. -EDISI UKAS

add comment