Kerajaan Perlu Wujudkan Dasar Untuk Menggalak Penggunaan Kenderaan Elektrik

SELASA, 21 JUN 2022

KUCHING: Lebih banyak dasar perlu diwujudkan bagi menggalak penggunaan kenderaan elektrik dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr. Hazland Abang Hipni memberitahu, pihak kerajaan terutama kerajaan persekutuan harus melihat kepada pelaksanaan dasar yang dapat memupuk minat warga awam untuk mula menggunakan kenderaan elektrik.

“Melihat kepada negara Norway di mana 75 peratus daripada kenderaan yang digunakan oleh masyarakat tempatan adalah kenderaan elektrik.

“Ini bermula daripada minat yang berkembang setelah syarikat Tesla menjual produk mereka di situ.

“Perkembangan tersebut pula dipercepatkan dengan pelaksanaan pelbagai polisi oleh kerajaan Norway seperti pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan elektrik serta pemberian diskaun untuk cukai pendapatan bagi sesiapa yang memiliki kenderaan sedemikian,” ujarnya.

Dr Hazland berkata demikian pada sesi soal jawab selepas sesi perbincangan panel bersempena dengan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau mengulas lanjut, polisi berkaitan turut perlu diteliti di sini bagi memupuk minat warga awam untuk menggunakan kenderaan elektrik yang mesra alam.

“Buat masa ini, masih sukar untuk memiliki kenderaan tersebut berikutan kosnya yang masih tinggi,” jelasnya lagi. -Edisi UKAS

add comment