SELASA, 21 JUN 2022
SIMUNJAN: Kerajaan menerusi agensi terlibat akan meneliti dan menangani isu banjir yang sering dihadapi penduduk Kampung Sungai Raya setiap kali musim hujan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato Sri Nancy Shukri memberitahu, isu itu kerap timbul berpunca daripada masalah perparitan di kawasan tersebut.
“Wakil saya akan bertemu dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) untuk mendapatkan nasihat berkenaan isu banjir itu,’’ katanya ketika menyempurnakan program Pengerami Ngiling Bidai di Kampung Sungai Raya di sini pada Isnin.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong mengulas lanjut, Premier Sarawak amat prihatin tentang isu yang dihadapi oleh setiap lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, Dato Sri Nancy menyeru pemimpin di peringkat akar umbi untuk menyuarakan sebarang isu yang diutarakan oleh penduduk di bawah tanggungjawab mereka.
“Penduduk kampung juga boleh memberi kerjasama kepada pemimpin tempatan seperti Tuai Rumah agar mereka dapat membangkitkan segala permasalahan kepada wakil-wakil rakyat di kawasan terbabit,’’ ujarnya.
Menyentuh berkenaan program tersebut, Dato Sri Nancy berpendapat program seumpamanya mampu mengeratkan silaturahim antara hadirin serta menjadi platform berbincang dan menyelesaikan sebarang masalah.
Pada program tersebut, beliau juga berkesempatan melakukan ‘ngetas ranyai’ bersama Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) yang hadir.
Turut Serta ialah Penghulu Jubin Sili serta Tuai Rumah Spawie Maie. -Edisi UKAS