Program Pemvaksinan Anti Rabies, Perlesenan Anjing dan Pemasangan Mikrocip Diadakan Di Sibu

SELASA, 21 JUN 2022

SIBU : Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak (JPVS), Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) telah mengadakan program Pemvaksinan Anti Rabies, Perlesenan Anjing dan Pemasangan Mikrocip di Dewan Suarah Sibu pada Sabtu.

Hadir ke program berkenaan ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II merangkap ADUN Pelawan, Michael Tiang Ming Tee.

Dalam pada itu, pemilik anjing dinasihatkan supaya anjing dikuarantin dan diasingkan selepas 28 hari pemvaksinan untuk membina imunitinya terhadap penyakit rabies.

Pihak Unit Komunikasi Dan Penerangan Sarawak (UKAS) juga turut menyerahkan risalah rabies dalam Bahasa Melayu, Bahasa Iban dan Bahasa Cina kepada pihak penganjur untuk diberikan kepada orang ramai yang hadir.

Pada sebelah petangnya pula, Michael Tiang Ming Tee turut hadir ke Majlis Pelancaran Facebook Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong bertempat di Pusat Khidmat SUPP Cawangan Dudong.

Jelasnya, laman media sosial  merupakan platform media yang sangat berkesan terutama sekali semasa pandemik COVID-19.

“Kini sudah menjadi tabiat, melayari facebook live tepat pada masa siaran live tanpa ketinggalan.

“Ini menunjukkan kuasa media sosial terutama facebook, dan sempena pelancarkan facebook pemuda SUPP Dudong, saya berasa gembira dan bangga sebab mereka telah melangkah terus kehadapan ke arah yang betul.”katanya.

Beliau turut berharap agar Facebook pemuda Dudong berjaya dan boleh berkongsi maklumat dari semasa ke semasa untuk terus berkembang dan mempunyai ramai pengikut pada masa akan datang.-EDISI UKAS

add comment