Agihan Percuma Air Mineral Bantu Tangani Masalah Krisis Air Di Miri Baru-Baru Ini

RABU, 22 JUN 2022

MIRI: Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan 1 (Pelancongan) Datuk Sebastian Ting Chiew Yew bersama dengan kakitangan Pusat Khidmat SUPP DUN Piasau telah melakukan agihan air mineral secara percuma kepada penduduk-penduduk sekitar kawasan Lutong pada Ahad.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Ahad, mereka menggunakan lori untuk mengagihkan air mineral untuk dihantar kepada penduduk dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau. 

“Pagi ini (Ahad) saya bersama pasukan mula memuatkan semua kotak air mineral ke dalam lori untuk dihantar kepada penduduk di kawasan Lutong. Setiap rumah akan diberi satu kotak. 

“Saya sangat menghargai pasukan saya atas segala usaha. 

“Pada ketika itu juga pasukan kami bertembung bersama pasukan Dato Sri Lee Kim Shin yang turut melakukan agihan air mineral percuma di kawasan beliau di DUN Senadin,” katanya.

Ini susulan krisis bekalan air di Bandaraya Miri berikutan kerosakan paip utama berdiameter 1100 mm di Batu 7, Jalan Miri – Bintulu (berdekatan PUSPAKOM) yang berlaku pada 16 Jun 2022. 

Kejadian itu telah menyebabkan lebih 300,000 penduduk di Bandaraya Miri terjejas dengan  tidak menerima bekalan air selama empat hari iaitu dari 5:00 pagi 16 Jun 2022 hingga 1:45 petang, 19 Jun 2022.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Piasau turut mengucapkan terima kasih kepada Lai dan Mandy yang mengikuti kami sepanjang agihan bekalan air bersih pada hari tersebut dan membantu mengisi semua baldi air sepanjang perjalanan. 

Turut diucapkan terima kasih kakitangan dan staf LAKU Management Sdn Bhd dan semua agensi serta petugas barisan hadapan yang sama-sama berganding bahu dalam membantu keadaan yang sukar ini.-EDISI UKAS

add comment