Draf Pelan Pembangunan Pusat Perkhidmatan Pekan Tedungan Dikaji Semula Dan Diperinci

RABU, 22 JUN 2022

LIMBANG: Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR) telah menyediakan draf Rancangan Pembangunan Pusat Perkhidmatan Tedungan yang bertujuan mengkaji semula dan memperincikan cadangan Pelan Pembangunan Pusat Perkhidmatan Pekan Tedungan yang digariskan dalam Pelan Induk Pembangunan Limbang 2018.

Penasihat Khas Perancangan dan Pembangunan Bandar MUDeNR Datu Sajeli Kipli berkata, program ini bertujuan menghebahkan kepada orang ramai tentang Penyediaan Draf Rancangan Pembangunan Pusat Perkhidmatan Tedungan yang telah pun dilaksanakan pada pertengahan tahun 2021. 

“Draf pelan yang akan disediakan ini mengandungi peta dan cadangan pembangunan terperinci di dalam Pekan Tedungan. 

“Setiap cadangan yang dikemukakan akan mengambil kira pandangan dan cadangan pihak-pihak yang berkepentingan sama ada melibatkan agensi Kerajaan Persekutuan, Negeri dan Tempatan serta tempoh perancangan sehingga tahun 2030,” katanya semasa berucap dalam Program Penyertaan Awam: Pelan Pembangunan Pusat Perkhidmatan Pekan Tedungan, Daerah Limbang, Bahagian Limbang di Dewan Kompleks ICQS Tedungan Limbang pada Selasa. 

Ujar Datu Sajeli lagi, penyediaan draf pelan ini adalah untuk menghasilkan satu dokumen yang telus, adil dan tepat dengan melalui proses peringkat mesyuarat-mesyuarat yang diadakan.

Penyertaan awam daripada masyarakat dan penduduk tempatan melalui Ketua-ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam menyalurkan cadangan, idea dan pandangan amat penting dalam penyediaan draf ini. 

Menurut beliau lagi, menerusi program ini membolehkan peserta menghayati dan memberikan cadangan yang bernas terhadap kajian Rancangan Pembangunan bagi memastikan hasrat dan aspirasi rakyat di dalam pembangunan di daerah ini dapat diambil kira dengan sebaik-baiknya.

Seramai 70 orang peserta yang terdiri dari agensi kerajaan Persekutuan, Negeri, Tempatan dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) telah menyertai program ini.

Hadir sama Pegawai Perancangan Bandar dan Desa Kanan MUDeNR Nazaewana Sustrawan Yahya Sawek, wakil Pemangku Residen Bahagian Limbang Cherylynna Leeza Roland dan Pegawai Pertanian Daerah Limbang Jakaria Rambli.-EDISI UKAS

add comment