Tujuh ADUN Dilantik Sebagai Ahli PAC Baharu

RABU, 22 JUN 2022

KUCHING: Seramai tujuh orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) telah dilantik mengganggotai Jawatankuasa Akaun Awam Negeri Sarawak (PAC) yang baharu.

Menurut Pengerusi PAC yang baharu yang juga ADUN Beting Maro, Razaili Gapor, antara yang dilantik ialah ADUN Batu Kitang, Ir. Lo Khere Chiang, ADUN Kabong, Mohamad Chee Kadir, ADUN Batu Lintang, See Chee How, ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang, ADUN Serembu, Miro Simuh dan ADUN Meluan, Rolland Duat Jubin.

Selain itu, Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Pele Peter Tinggom juga dilantik sebagai Setiausaha PAC yang baharu.

Dalam masa sama, Razaili juga turut memaklumkan penambahan ahli ex-officio PAC yang baharu iaitu Pengarah Unit Integriti Dan Ombudsman Negeri (UNION), Adana Jed.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan tahniah dan berharap agar kesemua ahli-ahli yang dilantik menggalas tanggungjawab dengan penuh amanah bagi memastikan perbelanjaan atau projek yang telah diluluskan oleh kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan dibelanjakan dengan berhemah dan mencapai objektif yang telah ditetapkan.

Razaili berkata demikian semasa mempengerusikan Mesyuarat PAC kali ke-54 yang diadakan pada 21 hingga 22 Jun 2022 bertempat di DUN Sarawak.

Menerusi mesyuarat tersebut, Jawatankuasa PAC telah bercadang untuk turun padang dan melawat sekurang-kurangnya satu projek pembangunan di Sarawak pada tahun ini.

Salah satu projek yang akan di lawati adalah Projek Pembangunan Industri Beras Bario yang kini sedang dilaksanakan. -EDISI UKAS

add comment