Industri OGSE Perlu Terus Berkembang Melalui Kaedah Yang Lebih Mampan, Hijau & Terkawal

RABU, 22 JUN 2022

KUCHING: Syarikat minyak dan gas, perkhidmatan dan peralatan (OGSE) Sarawak perlu meneruskan kaedah yang lebih mampan, hijau dan terkawal.

Timbalan Menteri Tenaga Dan Kelesterian Alam, Dr. Hazland Abang Hipni berkata, ia adalah untuk meneroka industri terdekat untuk membantu menjamin kemampanan jangka masa panjang yang seiring dengan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui dan bahan bakar fosil yang lebih bersih.

Jelasnya, keadaan semasa juga sedang melalui peralihan tenaga kepada pengeluaran hidrogen untuk menjadi sumber tenaga di masa hadapan.

“Justeru itu, Sarawak memberikan tumpuan dan melakukan usaha ke arah sumber tenaga yang lebih hijau seperti hidro, solar dan hidrogen.

“Dengan ini kita dapat memanfaatkan sumber asli Sarawak yang terdiri daripada lebih 300 sungai serta kekerapan hujan, cahaya matahari dan gas asli,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sarawak OGSE Roadshow 2022 anjuran bersama Unit Perancangan Ekonomi Sarawak (EPU) dan Perbadanan Sumber Petroleum Malaysia (MPRC) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, President yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MPRC, Mohd Yazid Ja’afar memberitahu, kelestarian dalam industri OGSE adalah fokus utama ‘National OGSE Industry Blueprint’ (OGSE Blueprint) 2021-2030.

Tambah beliau, OGSE Blueprint berkenaan merupakan inisiatif dalam menyokong dan memimpin syarikat OGSE melangkah ke industri tenaga boleh diperbaharui. -EDISI UKAS

add comment