Jawatankuasa Pemandu SADA Luluskan 52 Cadangan Projek Setakat 22 Jun 2022

RABU, 22 JUN 2022

SRI AMAN: Jawatankuasa Pemandu Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) telah meluluskan 52 cadangan projek dengan kos anggaran sebanyak RM1.22 bilion setakat 22 Jun 2022.

Pengerusi SADA, Dato Sri Rohani Abdul Karim memberitahu, projek-projek tersebut merangkumi projek infrastruktur (jalan raya dan jambatan serta sistem saliran dan pengairan), pertanian (ekosistem), ekonomi bukan pertanian (pelancongan) dan sosial (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional – TVET).

“Kesemua projek ini kini berada dalam fasa prapelaksanaan dengan melibatkan proses-proses dokumentasi serta rekabentuk projek.

“Sebanyak lima projek akan mula dilaksanakan pada tahun 2022 manakala selebihnya pula bakal bermula pada 2023 dan 2024 secara berperingkat,’’ jelasnya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu SADA Bil.2/2022 bertempat di Wisma SADA di sini pada Rabu.

Ahli Parlimen Batang Lupar itu mengulas lanjut, lima projek yang akan dilaksanakan pada tahun ini ialah projek membina jambatan menyeberangi Sungai Undop di Kampung Beleti, (Rumah Kedeney) Sabu, Sri Aman; tebatan banjir di kawasan Kejamut; jeti perahu panjang di Rantau Kemayau Manis, Lubok Antu; penambahbaikan jeti sedia ada di Ulu Menyang, Lubok Antu serta kerja-kerja pengubahsuaian Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) Sri Aman.

Sementara itu, beliau berkata, jawatankuasa pemandu tersebut pada mesyuarat lepas telah meluluskan projek kerja-kerja lindungan tebing Sungai Batang Lupar dengan anggaran kos bernilai RM60 juta.

“Projek ini akan dilaksanakan pada suku ketiga tahun 2023 di mana ia akan meliputi kerja lindungan tanah dari Sungai Jambu ke Tanjung Engkabang,’’ ujarnya.

Dato Sri Rohani menambah, jawatankuasa pemandu telah bersetuju untuk menambah peruntukan bagi kerja renovasi kampus PPKS demi memastikan segala kerja renovasi termasuk kelengkapan asrama dapat disediakan bagi para pelajar yang memerlukan tempat tinggal.

Antara yang hadir sama pada mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion; Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif, dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang; ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor serta Pemangku Residen Bahagian Sri Aman, Elvis Didit.

Mesyuarat itu turut meraikan jasa pegawai-pegawai kerajaan yang telah berkhidmat di bahagian Sri Aman seperti mantan Residen Bahagian Sri Aman, Datu Indit Bangai yang telah bersara baru-baru ini serta Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee yang akan berpindah ke tempat baharu. -Edisi UKAS

add comment