Premier Sarawak Terima Kunjungan Hormat Ketua Polis Negara, Bincang Situasi Keselamatan Sempadan Sarawak

RABU, 22 JUN 2022

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg menerima kunjungan hormat daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani di pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia disini pada Rabu.

Tan Sri Acryl Sani ketika ditemui media memberitahu, kunjungan hormat berkenaan adalah bagi memaklumkan kepada Premier Sarawak mengenai situasi keselamatan sempadan Sarawak.

Beliau menambah, pertemuan itu juga adalah bagi mendapatkan persetujuan bersama Kerajaan Sarawak khususnya bagi penempatan pos-pos kawalan keselamatan di beberapa lokasi sepanjang sempadan Kalimantan dan Sarawak.

“Kedatangan saya di sini adalah untuk berjumpa dan berbincang dengan Premier Sarawak supaya dapat kita dapat memuktamadkan lokasi-lokasi ini kerana ia merupakan satu pelaburan jangka panjang.

“Kita kena pastikan lokasi ini betul-betul sesuai, strategik dan memainkan peranan sebagai pos keselamatan sempadan.

“Di samping itu, sekarang ini kita akan menjadikan pos-pos kawalan keselamatan ini sebagai ‘frontliner’ Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

“Pos yang bukan sahaja untuk kawalan sempadan bahkan memberi perkhidmatan asas kepolisan kepada penduduk setempat seperti menerima laporan polis dan membuat siasatan awal iaitu responden pertama sebelum ia diambil alih oleh IPD yang berkenaan,”katanya.

Tan Sri Acryl Sani juga memberitahu, kunjungan hormat berkenaan juga adalah bagi memaklumkan mengenai cadangan membina jalan rondaan sempadan seiring dengan jalan yang telah dibina oleh negara jiran.

“Jadi ini membolehkan pihak berkuasa termasuk juga agensi-agensi kerajaan yang lain skeiranya ada keperluan untuk mereka membuat tinjuan keselamatan di sempadan dan ini adalah sangat mustahak.

“Tentu sekali ia tidak dapat dilaksanakan dalam masa yang terdekat tetapi pihak PDRM berharap ia akan berterusan sehingga integriti keselamatan sempadan negara kita ini betul-betul telah mencapai tahap yang dikhendaki,”ujar beliau lagi.

Dalam pada itu beliau juga memaklumkan, PDRM telah mendapat kelulusan daripada KDN untuk menubuhkan satu lagi batalion 23 di Sri Aman.

“Ini menjadikan Briged Sarawak daripada tiga batalion kepada empat batalion dan usaha-usaha sedang dilakukan dan berada dalam peringkat akhir untuk mendapatkan perjawatan dan kekuatan yang akan diletakkan di batalion yang baru ini bagi membantu menyokong mengukuhkan kawalan keselamatan di Sarawak ini,”jelasnya.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri kreatif dan Seni Persembahan Sarawak yang juga Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Dato’ Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki dan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri.-EDISI UKAS

add comment