Sambutan Kejohanan Petanque Sarawak X Tive 2022 Menggalakkan, Akan Diteruskan Pada Masa Akan Datang

RABU, 22 JUN 2022

BINTULU: Sebanyak 40 kumpulan yang terdiri dari belia Bintulu serta luar kawasan Bintulu seperti Miri, Sibu dan Mukah telah mengambil bahagian dalam Kejohanan Petanque Sarawak X Tive 2022 yang berlangsung di Padang Petanque Taman Riadah Jepak, Bintulu pada 18 dan 19 Jun lepas. 

Menurut Pegawai Penguasa Pejabat Kementerian Belia Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Bahagian Bintulu Upin Merang, jumlah penyertaan yang diterima amat memberansangkan. 

“Aktiviti ini akan berterusan pada masa akan datang kerana kejohanan ini telah menyediakan juga Piala Pusingan untuk pemenang.

“Terima kasih kepada Pengerusi Taman Riadah Jepak yang telah menyediakan kemudahan tempat yang baik serta penggunaan fasiliti sepenuhnya tanpa bayaran sepenuhnya demi belia bersukan,” katanya semasa berucap merasmikan penutupan Kejohanan Petanque Sarawak X Tive 2022 baru-baru ini. 

Program Sarawak X Tive ini dijalankan selepas pelancarannya pada 5 Mac 2022 di seluruh Sarawak.

Dalam kejohanan itu, Johan dimenangi kumpulan Fatboy yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,000 beserta piala dan medal, Naib Johan kumpulan PS 2 dengan wang tunai RM1,500 beserta piala dan medal dan tempat ketiga PS 1 dengan wang tunai RM1,000 beserta piala dan medal serta tempat keempat dimenangi kumpulan Spaoh dengan membawa pulang wang tunai RM800 beserta medal. 

Manakala, tempat kelima dimenangi kumpulan MDH SL, tempat keenam Mustaqim B, tempat ketujuh kumpulan Al Hijrah Spait dan tempat kelapan PS 3 masing-masing membawa pulang hadiah RM100 beserta medal.

Hadir sama Setiausaha MAKSAK Bahagian Bintulu Harun Hatta dan Pengerusi bersama Kejohanan Petanque Sarawak X Tive 2022 Kederi Yusof.-EDISI UKAS

add comment