RABU, 22 JUN 2022
KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) kini menuju ke arah pendigitalan pengoperasian sebagai usaha meningkatkan lagi kecekapan pengeluaran.
Naib Presiden Kanan Bahagian Teknologi Informasi dan Komunikasi SEB, Sim Ko Sin berkata, usaha tersebut dilakukan kerana pendigitalan memainkan peranan yang penting dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Matlamat ini adalah untuk memacu kecemerlangan dalam operasi, sekaligus mengubah teras perniagaan serta memodenkan sistem grid elektrik yang kini telah berkhidmat kira-kira empat dekad.
“Khususnya, data berkaitan pengoperasian harian di semua aset milik SEB seperti loji jana kuasa boleh didapati menerusi kaedah Internet Of Things (IOT),’’ jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan panel bersempena dengan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2022 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.
Sim menambah, ia penting untuk memahami tahap kesihatan serta memantau prestasi aset-aset tersebut kerana data boleh digunakan untuk mengoptimumkan lagi hasil pengeluaran.
“Selain daripada menyokong penjanaan tenaga boleh diperbaharui, data berkaitan boleh digunakan bagi memahami kehendak para pelanggan serta memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada mereka,’’ ujarnya lagi. -Edisi UKAS