RABU, 22 JUN 2022
BINTANGOR: Kerajaan Sarawak melalui Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) telah merancang dan melaksanakan beberapa program untuk membangunkan daya saing pelajar melalui Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan Dan Matematik (STEM) dan kemahiran digital.
Menurut Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan Dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, pendidikan awal STEM dan kemahiran digital amat penting untuk anak muda hari ini dalam menghadapi revolusi Industri 4.0.
Beliau yang juga Setiausaha TEGAS berkata kecanggihan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) yang mengambil alih tugas manusia memerlukan pelajar untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran digital.
“Pendidikan Awal STEM dan kemahiran digital amat penting untuk anak muda dalam menghadapi revolusi Industri 4.0. Artificial Intelligence (AI) sudah pun mengambil alih tugas manusia seperti ‘robotic arms’ dalam perindustrian kereta seperti servis ‘robot café’ yang sudah wujud di kebanyakan cafe Malaysia. Kecanggihan teknologi sebegini memerlukan pelajar untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran digital.
“Oleh yang demikian Kerajaan Negeri melalui TEGAS telah merancang dan melaksanakan beberapa program untuk membangunkan daya saing pelajar melalui Pendidikan STEM dan kemahiran digital.
“Salah satu langkah proaktif telah diambil dengan mewujudkan program T&T Mini Lab yang melengkapkan 11 buah sekolah untuk siri pertama kepada guru-guru agar dapat mengajar semula ilmu digital kepada pelajar-pelajar mereka,” katanya semasa berucap pada Majlis Perasmian Jerayawara Sempena Ulang Tahun Tegas Ke-10 di Dewan Masyarakat Bintangor pada Rabu.
Berucap lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu berkata dalam 10 tahun ini telah menyaksikan banyak program berimpak tinggi dari TEGAS dalam membantu para pelajar dan juga belia dengan memberi informasi mengenai peluang dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan kepentingan Pendidikan STEM serta kemahiran inovasi digital pada masa yang akan datang.
Malah beliau amat berbangga apabila TEGAS telah menunjukkan kemampuannya berinovasi semasa pendemik Covid-19 di mana terpaksa menghadapi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sangat ketat.
“Berbekalkan idea, dedikasi dan kemampuan berinovasi melalui TEGAS Community Innovative Learning (TCIL) telah melancarkan STEM Playground Virtual iaitu sebuah program STEM Online berimpak tinggi yang pertama diadakan di Malaysia pada tahun 2020.
“Selain itu, TEGAS Community Innovative Learning pada tahun ini juga telah melancarkan Kempen digital Innovation For All iaitu kempen untuk membudayakan komuniti berkemahiran digital di seluruh Sarawak.
“Melalui TEGAS Community workshop, pengetahuan dan kemahiran dalam celik digital (Digital Literacy) dalam siri bengkel seperti pengenalan asas kepada drone, NoCode dan 3D Printing akan disampaikan kepada semua kumpulan sasaran TEGAS,” katanya sambil menambah program itu akan diteruskan pada masa akan datang. – EDISI UKAS