142 Bakal Jemaah Haji Sarawak Berlepas Ke Tanah Suci Hari Ini

KHAMIS, 23 JUN 2022

KUCHING: Seramai 142 bakal jemaah haji Sarawak Musim Haji 1443H/2022M berlepas ke Tanah Suci hari ini.

Hadir ke Majlis Keberangkatan Jemaah Haji Sarawak KT23Q ialah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.

Premier Sarawak dalam ucapannya mendoakan agar semua bakal jemaah haji Malaysia dapat melaksanakan ibadah haji dengan baik, tenang serta pulang dengan haji yang mabrur.

“Mudah-mudahan tuan puan dapat menunaikan ibadah dengan baik dan inshaAllah mendapat haji yang mabrur.

“Itu doa kita untuk anda semua, doakan juga supaya negara kita aman, negeri kita aman supaya dapat lah kita menghantar lagi jemaah bakal haji yang akan datang ke Mekah,” katanya.

Dalam amanatnya juga, beliau menasihatkan semua bakal jemaah haji agar menjaga kesihatan disebabkan pandemik COVID-19 masih boleh mengancam kesihatan.

Selain itu, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Zohari juga meminta semua jemaah haji untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) kesihatan dan berhati-hati supaya tidak terkesan dengan jangkitan COVID-19 atau penyakit berjangkit yang lain semasa berada di Tanah Suci.

Difahamkan, penerbangan pertama dari Sarawak pada hari ini dijadual berlepas jam 10.55 malam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) menerusi penerbangan Malaysia Airlines (KT32Q) dan dijangka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum meneruskan penerbangan ke Jeddah.

Para jemaah dijangka tiba di Jeddah pada jam 6.55 pagi waktu Arab Saudi bagi menunaikan rukun Islam kelima.-EDISI UKAS

add comment