60 Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa 2022 Menyerikan Bandar Lundu Pada 17 November Ini

KHAMIS, 23 JUN 2022

LUNDU: Seramai 60 ratu cantik dari seluruh dunia akan menyerikan bandar Lundu pada 17 November depan sempena Pertandingan Ratu Cantik Pelancongan Antarabangsa ke-25.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, penganjuran pertandingan bertaraf antarabangsa itu sekaligus memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan di negeri ini.

Menurutnya, menerusi pertandingan ratu cantik ini, ia juga memberi pendedahan secara langsung kepada pelancong-pelancong di luar negara untuk mengetahui keunikan serta keindahan di daerah Lundu.

“Keunikan Lundu sebagai salah satu lokasi yang berpotensi besar untuk dibangunkan bagi kepentingan sektor pelancongan setempat,

“Apabila kesemua ratu cantik yang datang dari pelbagai negara ini datang ke sini sekaligus akan mendedahkan pelancong-pelancong di luar negara akan keindahan Lundu,” katanya.

Beliau mengumumkan perkara tersebut semasa merasmikan Majlis Pelancaran Laluan Persahabatan Antarabangsa (International Friendship Pathway) di Town Square, Lundu pada Rabu.

Dato Sri Abdul Karim yang juga Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata, beliau mewakili kementeriannya berasa amat bangga akan usaha yang dilaksanakan oleh YAST Group bagi memastikan aktiviti di peringkat antarabangsa ini dapat dilaksanakan di Lundu dan sekaligus memberikan impak yang cukup positif kepada sektor pelancongan tempatan.

Dalam pada itu, memorandum persefahaman di antara Majlis Daerah Lundu dan YAST Group berkenaan dengan International Friendship Pathway juga turut ditandatangani oleh Pengerusi YAST Group, Esther Law Lee Poh dan Setiausaha Majlis Daerah Lundu, Norashikin Brahim.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang, Presiden Miss Tourism International, Tan Sri Datuk Danny Ooi, dan Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Hii Chang Kee.-EDISI UKAS

add comment