Generasi Muda Digalakkan Terus Kekalkan Tradisi Berpakaian Tradisional Iban & Pamer Adat Resam Kaum Dayak

KHAMIS 23 JUN 2022

MARUDI: Penduduk khususnya generasi muda di rumah panjang perlu terus mengekalkan tradisi berpakaian tradisional Iban dan mempamerkan adat resam kaum Dayak.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Awam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datu Dr Penguang Manggil, mengekalkan tradisi berpakaian tradisional Iban merupakan suatu tindakan yang sangat digalakkan bagi membolehkan masyarakat Iban masa depan akan terus dapat menikmati budaya Iban.

“Tahniah kepada generasi muda di rumah panjang Tuai Rumah Anthony kerana terus mengekalkan tradisi berpakaian tradisional Iban dan mempamerkan adat resam kaum Dayak,” katanya semasa berucap menyempurnakan program ‘Ngiling Bidai’ di Rumah Panjang Lepong Ajai, Sg Liam, Bakong pada Sabtu.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program tersebut berlangsung, antaranya seperti ‘bebiau’, ‘begendang pampat’, ‘kuntau’, ‘ngajat’, ‘nebang ranyai’ dan nyanyian”.

Sementara itu, Tuai Rumah Anthony mengucapkan terima kasih di atas kehadiran Datu Dr Penguang yang sudi menyempurnakan program ‘Ngiling Bidai’ ini.

Turut hadir sama isteri Datu Dr Penguang, Datin Monica Ukong, Setiausaha Politik Premier Sarawak Alexander Asing dan Ketua Masyarakat Iban Daerah Beluru Pemanca Enggah Muga. – EDISI UKAS

add comment