Kes Varian Omicron Mudah Berjangkit Dikesan Di Sarawak

KHAMIS, 23 JUN 2022

KUCHING: Kes varian Omicron yang lebih mudah berjangkit iaitu BA.2.12.1 dan BA.5 telah dikesan di Sarawak baru-baru ini.

Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Prof. Dr. David Perera mendedahkan perkara tersebut menerusi laporannya kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pada Khamis.

“Hari ini (Khamis) kami ingin melaporkan data pengawasan untuk kes positif COVID-19 dari 1 Mac hingga 16 Jun 2022 yang merekodkan sebanyak 1,229 sampel.

“Semuanya dikesan sebagai Varian Omicron Membimbangkan B.1.1.529 (VOC) yang mewakili kes positif di seluruh negeri.

“Daripada jumlah tersebut, BA.2 terus menjadi sub-varian beredar yang dominan dengan beberapa sub-keturunan kecilnya turut dikesan,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Bagaimanapun, pada minggu terakhir Mei, ujarnya, BA.2.12.1 yang sangat berjangkit telah dikesan daripada kes di Kuching dan BA.5 di Sibu.

“Selain itu, satu kes tambahan BA 2.12.1 dan tiga kes BA.5 dikesan di Kuching hingga minggu kedua dan ketiga pada Jun.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini telah mengesahkan kedua-dua sub-keturunan ini menular lebih pantas berbanding induk Omicron VOC.

“Sementara itu, BA.5 yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan telah menyebabkan peningkatan baru-baru ini dalam kes COVID-18 di beberapa negara seluruh dunia,” tambahnya.

Dalam pada itu, Prof. Dr.David menasihatkan orang ramai untuk lebih peka akan risiko peningkatan kadar jangkitan di negeri ini.

“Kita menasihatkan orang ramai untuk mendapatkan suntikan dos penggalak terutamanya bagi individu yang mempunyai komorbiditi dan mereka yang berumur 60 tahun ke atas,” katanya.-EDISI UKAS

add comment