MOU Antara STIDC, Woodsfield Glulam Manufacturing Sdn Bhd Dan Australia’s Tilling Timber Pty Ltd Tarik Pelaburan RM120 Juta

KHAMIS, 23 JUN 2022

KUCHING: Satu perjanjian persefahaman (MOU) telah ditandatangani antara Sarawak Timber Industry Development Corporation (STIDC) yang diwakili pengurusnya Datu Hashim Bojet dan Woodsfield Glulam Manufacturing Sdn Bhd diwakili Pengarah Urusan Eddie Ling Lee Tee dan Australia’s Tilling Timber Pty Ltd diwakili Pengarah Urusannya Glenn Tilling pada Rabu. 

Projek ini telah berjaya menarik pelaburan kira-kira RM120 juta dan diunjurkan menjana pendapatan tahunan sebanyak RM78 juta.

Kerjasama dan pelaburan STIDC ini akan mempromosikan penggunaan kayu kejuruteraan dalam pembinaan perumahan dan bangunan di Sarawak selaras dengan aspirasi negara menggalakkan pembangunan hijau, kemampanan alam sekitar dan penyimpanan karbon.

MOU itu ditandatangani bertujuan mengkaji kebolehlaksanaan pelaburan usaha sama bagi membangunkan loji kayu kejuruteraan di Sarawak dengan menggunakan kayu daripada hutan yang ditanam.

Ia juga manifestasi komitmen Kerajaan Sarawak untuk melaksanakan pelan transformasi untuk mempromosikan produk bernilai tambah tinggi daripada bahan hutan yang ditanam selaras dengan Strategi Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang bertujuan menjana kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

Tilling Timber akan bertanggungjawab untuk membangunkan dan menjamin pasaran produk kayu kejuruteraan, manakala Woodsfield akan bertanggungjawab memindahkan teknologi pada pembuatan kayu kejuruteraan berdasarkan pengalaman pengeluaran komersial mereka. 

Sementara, STIDC pula akan memudahkan pelaburan yang dicadangkan dan keperluan material.

Hadir menyaksikan perjanjian itu Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Turut sama menyaksikan majlis itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia Dato’ Roslan Tan Sri Abdul Rahman, Konsul Jeneral Melbourne Australia Marzita Marzuki, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan  Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Datu Abdullah Zaidel, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak Dzulkornain Masron.-EDISI UKAS

add comment