Pelihara Adat Dan Budaya Masyarakat Iban, Elak Keterlibatan Dalam Kegiatan Dadah Dan Jenayah

KHAMIS, 23 JUN 2022

BEKENU: Mempelajari seni mempertahankan diri Iban seperti Kuntau merupakan suatu cara beriadah yang baik khususnya dalam kalangan belia Iban hari ini. 

Menurut Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, mempelajari Kuntau Iban ini bukan sahaja cara untuk masyarakat Iban memelihara budaya, tetapi juga mengekalkan adat dan budaya Iban dijaga dari satu generasi ke satu generasi agar ia berkekalan. 

“Saya tadi melihat ada anak-anak kita yang memperagakan kuntau. Itulah salah satu cara beriadah yang baik. 

“Kita tidak ingin melihat generasi anak Dayak kita yang terlibat dengan masalah dadah dan terlibat dengan jenayah,” katanya semasa berucap dalam Program Ngiling Tikai Zon Saeh yang diadakan di Dewan Serbaguna Rumah Mentali, Saeh, Bekenu, Miri pada Rabu. 

Lukanisman turut mengumumkan peruntukan RM60,000 kepada 20 Biro Wanita Daerah Saeh dengan setiap biro menerima RM3,000 dan RM10,000 kepada Jawatankuasa Pembangunan Zon Saeh. 

Dalam majlis itu, pelbagai aktiviti diadakan seperti pertandingan tuak gawai, pertandingan Kumang dan Keling, pameran 20 gerai Gawai dan persembahan artis tempatan Iban.

Hadir sama Pengarah Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (UKAS) Samat Junai, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Sharkawi Suhaili, Pegawai Tadbir mewakili Pegawai Daerah Subis James Jam Jolly, Tuai Gawai Ngiling Tikai Zon Saeh 2022 Tuai Rumah Ayai Sawing dan Penghulu Niah Hilir Penghulu Epat Bakar. 

Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu Datuk Rosey Yunus dalam ucapannya mahu budaya setiap kaum dihidupkan sebagai lambang kekuatan kaum. 

Ujar beliau lagi, sekarang ini adat dan budaya sering dilupakan selain di pengaruhi adat dan budaya moden sehingga menghakis adat dan budaya asal nenek moyang. 

“Saya berterima kasih kepada semua apabila belia-belia kita berkuntau dan ini merupakan satu penghidupan budaya. Selain daripada bertabuh, ngajat juga kuntau. 

“Apa lagi adat dan budaya dulu-dulu ajarkan kepada anak-anak baru kita dan belia-belia kita. Dan, kita ini terlalu moden lupa adat sendiri. Sebab, setiap bangsa dan setiap kaum kehadirannya dengan kekuatannya adalah adat budaya dan bahasa,” katanya. 

Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM3,000 kepada setiap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan DUN Bekenu dan RM20,000 untuk Jawatankuasa Pembangunan Zon Saeh serta sumbangan sebanyak RM20,000 kepada jawatankuasa Pengelola Program Ngiling Tikai Zon Saeh. 

Turut disampaikan sumbangan 100 pek kuih tradisional oleh Pengarah UKAS Samat Junai kepada Tuai Rumah Ayai Sawing. 

Pada majlis itu, juga diadakan Pertandingan Kumang dan Keling dengan pemenang Johan Kumang dimenangi Sherry anak Bulin yang membawa pulang hadiah wang tunai RM300 dan trofi, Naib Johan dimenangi Arabela anak Jingga membawa pulang hadiah wang tunai RM200 dan trofi serta, tempat ketiga dimenangi Rachella Nissa anak Benson yang membawa pulang wang tunai RM100 dan trofi. 

Sementara itu, pemenang bagi kategori Keling ialah Johan dimenangi Stanley Ngadan anak Nurudin yang membawa pulang hadiah wang tunai RM300 dan trofi, Naib Johan dimenangi Alex anak Daud membawa pulang wang tunai RM200 dan trofi, dan tempat ketiga dimenangi Andrea Delly anak Ranie yang membawa pulang wang tunai RM100 dan trofi. -EDISI UKAS

add comment