Penggunaan Bahasa Inggeris Dalam Perkhidmatan Awam, Pendekatan Perluas Daya Komunikasi

KHAMIS, 23 JUN 2022

KUCHING: Keputusan untuk mengekalkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam perkhidmatan awam adalah suatu pendekatan untuk memperluaskan daya komunikasi terutama di peringkat antarabangsa.

Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri – Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali menegaskan keputusan ini tidak sama sekali bermaksud untuk menidakkan kepentingan bahasa ibunda kita.

“Sebagai negeri yang sedang membangun kita memerlukan komunikasi efektif yang menghubungkan kita dengan pelbagai sektor dalam dan luar negara demi mencapai matlamat kita.

“Sebagai contoh dalam pembangunan ekonomi digital sudah tentunya kita memerlukan kerjasama negara-negara yang lebih maju dari segi teknologi digital.

“Maka di situlah kita memerlukan komunikasi yang meluas ke peringkat antarabangsa demi membantu kita dari sudut pelaburan teknologi contohnya untuk mencapai pembangunan yang berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Wacana 45 Tahun Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak bersempena dengan Karnival Intelek 2022 di sini pada Khamis.

Bercakap mengenai sambutan ulangtahun DBP yang ke-45 tahun, Datuk Sharifah Hasidah berkata, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak telah melaksanakan pelbagai program yang merangkumi bidang bahasa, sastera, seni dan budaya sepanjang 45 tahun ia bertapak di negeri ini.

“Ini termasuk melaksanakan pelbagai kegiatan untuk memperluaskan serta mempertingkatkan penguasaan bahasa kebangsaan di negeri Sarawak serta melaksanakan pelbagai kegiatan kesusasteraan yang membantu ke arah pembinaan bakat penulisan, memupuk minat dan penghayatan sastera kebangsaan di Sarawak, serta memperbanyakkan hasil dan bahan penyelidikan untuk diterbitkan,” jelasnya lagi.

Justeru beliau yakin DBP Cawangan Sarawak akan terus cemerlang dalam menjalankan peranannya sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab dalam membina dan mengembangkan bahasa dan sastera kebangsaan di Sarawak.

Terdahulu, majlis telah dimulakan dengan wacana yang menampilkan tiga orang panel iaitu Pengarah Jabatan Pembinaan dan Penyelidikan DBP Kuala Lumpur Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, Sasterawan Negeri Sarawak Zainal Abidin Suhaili dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Hamzah Hamdani yang mana ia telah dipengerusikan oleh Persatuan Karyawan Sastera Sarawak Dayang Azizah Mohd Salleh.

Hadir sama Pengarah DBP Cawangan Sarawak Abang Haliman Abang Julai dan Sasterawan Negeri Sarawak Ke-4 Jong Chian Lai.-EDISI UKAS

add comment