Projek Pembinaan Jalan Dari Passin Ke Matu Akan Ditender Semula

KHAMIS, 23 JUN 2022

MATU: Projek pembinaan jalan dari Passin ke Matu sepanjang 16 kilometer yang bernilai RM65 juta mungkin akan ditender semula susulan kegagalan kontraktor asal untuk meneruskan projek berkenaan.

Ia dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad sambil menambah pelaksanaan semula projek itu akan memakan masa 30 bulan dari sekarang.

“Projek ini telah diserah tapak pada awal bulan Mac 2020. Bagaimanapun disebabkan pelaksnaaan PKP, projek ini agak tergendala dan sekarang ini walaupun ia telah dibuka, kita mendapati ia masih mengalami masalah dari segi prestasi kontraktor yang melaksanakan.

“Sebab itu saya membawa teknikal agensi terutama JKR bersama kita hari ini untuk menjelaskan kepada penduduk mengenai status pelaksanaan projek ini.

“Kita sedia maklum, projek ini mungkin akan melalui proses retender keraa kontraktor yang telah ditawarkan projek ini didapati tidak berupaya melaksanakan projek ini.”

Beliau berkata demikian kepada Unit Komunikasi dan Penerangan Sarawak (UKAS) Majlis Pemimpin Bersama Masyarakat & Majlis Ngiling Bidai Tahun 2022 bagi kawasan Sungai Passin, Matu pada Rabu.

Menjelas lanjut, Safiee memberitahu Projek Bekalan Elektrik untuk kawasan itu yang bernilai RM6.2 juta sedang rancak dilaksanakan dan dijangka siap pada September 2023.

Katanya, projek itu bukan sahaja akan memberi manfaat kepada rumah panjang di situ, malah kepada sekolah dan klinik.

Menurutnya, Projek Bekalan Air Bersih untuk kawasan itu telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di mana ianya akan disambung dari Jemoreng ke Matu mengikut jajaran jalan yang sedang dalam pelaksanaan.

Pada majlis sama, Safiee turut menyampaikan cek sumbangannya kepada tujuh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan gereja berjumlah keseluruhan RM57,000. – EDISI UKAS

add comment