TRACE, Pameran Kerjaya Terbesar Kembali Secara Fizikal

KHAMIS, 23 JUN 2022

KOTA SAMARAHAN: Pameran pengambilan pekerjaan dan latihan industri terbesar di Borneo iaitu ‘Talent Recruitment and Career Exhibition’ (TRACE) 2022 kembali dianjurkan secara fizikal pada 21 hingga 22 Jun baru-baru ini.

TRACE 2022 kali ini melibatkan 64 buah tapak pameran dan tiga penaja utama iaitu Sarawak Energy Berhad, Press Metal Bintulu Sdn Bhd serta Sarawak Media Group (SMG) yang menyasarkan lebih daripada 40 majikan dan kehadiran 5,000 pengunjung di sekitar Kuching dan Kota Samarahan.

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Tan Sri Datuk Seri Panglima Sulong Matjeraie berkata, program ini merupakan usaha universiti untuk menyediakan laluan kepada pelajar ke arah pembangunan kerjaya dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan mengikut keperluan industri serta komuniti global yang kian berkembang. 

“Program ini sangat bermakna kerana ia membantu pencari-pencari kerja termasuk graduan Universiti, Politeknik, Kolej Komuniti dan lepasan sekolah menengah khasnya yang berada di negeri Sarawak untuk bertemu dengan para majikan di satu platform pencarian kerja (job matching platform) secara bersemuka.

“Saya percaya melalui penganjuran program sebegini dengan lebih kerap akan dapat membantu pencari-pencari kerja untuk merebut peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh semua majikan yang mengambil bahagian dalam program ini,” kata beliau semasa berucap dalam Majlis Perasmian UNIMAS ‘Talent Recruitment and Career Exhibition’ (TRACE) 2022 di DeTAR Putra UNIMAS di sini pada Rabu.

Justeru, beliau juga menyatakan secara umumnya pameran kerjaya yang terbesar di Borneo ini menjemput para majikan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan hadir sama membuka kaunter pameran untuk memberi peluang kepada orang ramai bagi mendapatkan informasi tentang jawatan yang ditawarkan mengikut kelayakan serta kemahiran yang diperlukan.

“Secara tidak langsung aktiviti pencarian kerja dan ceramah kerjaya ini boleh mengurangkan kadar pengangguran belia di Malaysia khasnya dalam kalangan siswazah universiti dan Institusi Pengajian Tinggi yang lain.

“Kita harus sedar bahawa tenaga kerja lebih banyak terdiri daripada mereka yang mempunyai pencapaian pendidikan yang lebih rendah manakala bilangan pekerjaan terutama untuk peringkat Ijazah adalah sangat terhad ditambah keadaan di mana maklumat mengenai pekerjaan ini tidak disebarluaskan. 

“Oleh itu, perlu adanya program seperti ini sebagai tambahan kepada portal-portal atas talian sedia ada untuk menghasilkan kesan exponential kepada aktiviti penjodohan pekerjaan dalam pasaran buruh negara,” tambah beliau lagi. 

Kali terakhir TRACE diadakan secara fizikal pada tahun 2019 di mana pameran kerjaya ini telah mendapat sambutan lebih daripada 15,000 pengunjung dengan penawaran lebih 1,000 kekosongan jawatan kosong dan peluang latihan industri.

Bagaimanapun, disebabkan pandemik Covid-19 Pusat Pembangunan Pelajar (PPP) UNIMAS telah membuat penangguhan TRACE pada April 2020 dan telah mengadakan TRACE 2021 secara atas talian pada bulan Oktober tahun berkenaan.

Hadir sama pada program tersebut ialah Naib Canselor UNIMAS; Prof. Dato’ Dr. Mohamad Kadim Suaidi, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi; Prof Dr Wan Hashim Wan Ibrahim, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa; Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit, Timbalan Naib Canselor HEPA UNIMAS; Prof. Dr Kamarudin Kana, Timbalan Naib Canselor, Prof Datu Mohd Fadzil Abd Rahman, Pendaftar Universiti Malaysia Sarawak; Azlan Ramli, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar; Prof Madya Dr Faisal Ali Anwarali Khan dan Pengarah Urusan UNIMAS TRACE 2022; Eva Natasha Chloreg. – EDISI UKAS

add comment