28 Keluarga Di Pakan Terpilih Sertai Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia

JUMAAT, 24 JUN 2022

PAKAN: Sebanyak 28 buah keluarga miskin tegar di Daerah Pakan telah dipilih untuk menyertai Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

Menurut Menteri di Pejabat Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Sri Mustapa Mohamed, program di Pakan merupakan salah satu daripada 10 lokaliti di Sarawak yang akan diadakan program tersebut.

Ujarnya, matlamat program itu adalah ke arah sasaran kerajaan untuk membasmi keluarga miskin tegar dalam negara menjelang 2025.

Mengenai jenis projek-projek kecil yang akan diberikan kepada keluarga terpilih ini, beliau mendedahkan pihaknya mengambil langkah fleksibel kerana projek diberikan akan diberikan mengikut minat, kemahiran dan kos sesebuah projek tersebut.

“Di Pakan, antara yang akan disalurkan adalah bantuan projek penanaman sayur, baja ikan kepada yang sudah memilik kolam ikan dan bantuan kepada peniaga barangan runcit.

“Fleksibilitinya ialah kalau petani, bertani, kalau peniaga, berniaga itu asasnya di samping mereka akan mendapat bantuan teknikal pertanian dari UNIMAS dan yang penting ialah Pegawai Daerah akan kenalpasti dan pantau setiap bulan bersama penghulu dan tuai rumah untuk pastikan program berjalan lancar.

“Secara purata, setiap penerima bantuan menerima jumlah bantuan bernilai RM10,000 namun ia bergantung kepada jenis perusahaan yang dipilih peserta contohnya bagi perusahaan gunting rambut dan tukang urut hanya menelan kos sekitar RM5000.”

Beliau berkata demikian semasa ditemui di Majlis Gerak Mula Program BMTKM yang diadakan di Dewan Masyarakat Pakan pada Jumaat.

Turut hadir ke program tersebut adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom dan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng. – EDISI UKAS

add comment