Makmal Kaji Produk Pelancongan Di Sibu

JUMAAT, 24 JUN 2022

SIBU: Satu makmal pelancongan telah diadakan di Sibu pada Khamis bagi meneliti dan mengemaskini produk pelancongan di Bahagian Sibu.

Residen Bahagian Sibu, Wong Hee Sieng memberitahu makmal pelancongan ini diadakan untuk mengenal pasti produk pelancongan untuk setiap daerah yang bakal menjadi tarikan utama bagi destinasi pelancongan domestik.

“Program ini juga bertujuan mendaftarkan inap desa baru dan sedia ada dan untuk mengaktifkan kembali festival seni, budaya dan pelancongan di sini,” katanya semasa menghadiri Makmal Pelancongan Bahagian Sibu Di Hotel Tanahmas Sibu pada Khamis.

Dalam program berkenaan, terdapat beberapa sesi perkongsian daripada jabatan dan agensi pelancongan seperti Sarawak Tourism Board (STB), Sarawak Matta Chapter dan Sarawak Tour Guide Association.

Sementara itu, terdapat lapan aktiviti dalam kalendar program pelancongan 2022 bagi Bahagian Sibu di mana program yang terdekat ialah Borneo Cultural Festival yang akan diadakan pada 18 hingga 23 Julai 2022 di Dataran Tun Tuanku Bujang.

Seterusnya, Sibu International BASE Jump 2022 (14-18 September 2022), Kanowit Festival 2022 (24 September-2 Oktober 2022), Simfoni Batang Rajang (2-3 Oktober 2022), Christmas Tree Decoration Contest (Disember 2022) dan Countdown 2023 (31 Disember 2022).-EDISI UKAS

add comment