Sibu Tuan Rumah Borneo Ethnic Music Exchange Conference @ Borneo Tribal Music Festival 1.0 September ini

JUMAAT, 24 JUN 2022

SIBU: Bandar Sibu akan menjadi tuan rumah Borneo Ethnic Music Exchange Conference @ Borneo Tribal Music Festival 1.0 yang akan diadakan pada 23 hingga 24 September 2022.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau sangat gembira apabila satu lagi acara berprestij akan diadakan di Sibu selain Borneo Cultural Festivals, Sibu International Dance Festivals dan Sibu International Base Jump.

“Saya sangat gembira kerana Sibu telah tampil dengan satu lagi acara tempatan, Borneo Ethnic Music Exchange Conference yang akan diadakan dari 23 hingga 24 September tahun ini.

“Sebagai Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, saya pastinya gembira melihat satu lagi acara berprestij yang berpotensi di samping Borneo Cultural Festivals, Sibu International Dance Festivals dan Sibu International Base Jump.”

Beliau berucap demikian semasa majlis simbolik pelancaran Borneo Ethnic Music Exchange Conference @ Borneo Tribal Music Festival 1.0 di Kingwood Hotel Sibu pada Jumaat.

Dalam pada itu, Dato Sri Abdul Karim mahu melihat lebih banyak acara seni dan kebudayaan dianjurkan di setiap bahagian di Sarawak sambil menyeru orang ramai agar tampil dengan idea kreatif dan berani untuk diketengahkan.

Malah beliau yakin persidangan dan festival muzik itu pastinya menarik kerana ia turut disertai pelbagai penggiat muzik tempatan.

“Ini adalah acara yang menarik di mana ia melibatkan masyarakat tempatan terutamanya peminat muzik tempatan.  

“Dikenali sebagai Borneo Tribal Music Festival, saya rasa sudah tiba masanya untuk Sibu dan wilayah tengah Sarawak Tengah memiliki festival muziknya sendiri seperti Festival Muzik Hutan Hujan Hujan Sedunia di Kuchng dan Festival Jazz Borneo di Miri,” tambah Dato Sri Abdul Karim.

Terdahulu, Pengarah Borneo Ethnic Music Exchange Conference @ Borneo Tribal Music Festival, Wilfrid Gan dalam ucapan aluannya berkata idea untuk menganjurkan acara itu timbul bagi menghidupkan semula kemeriahan di Sibu selepas dilanda wabak Covid-19.

Selain itu, beliau berharap acara julung kali diadakan itu akan menjadi acara yang popular untuk wilayah tengah Sarawak, setanding dengan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia di Kuching dan Festival Jazz Borneo di Miri.

Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Hii Chang Kee, Ahli Parlimen Sibu Oscar Ling dan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu Kaunselor Clarence Ting Ing Horh. – EDISI UKAS

add comment