UNION Komited Lahirkan Masyarakat Berintegriti Tinggi

JUMAAT, 24 JUN 2022

KAPIT: Jelajah Integriti yang sedang dilaksanakan Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNION) bertujuan mewujudkan masyarakat yang berintegriti tinggi seiring dengan matlamat Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030 nanti.

Bagi mencapai aspirasi ini, agensi kerajaan sebagai pelaksana dasar dan masyarakat haruslah mempunyai akhlak berintegriti tinggi, demikian menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Murshid Diraja Dr Juanda Jaya.

Katanya, UNION diwujudkan bagi memantau projek kerajaan di seluruh Sarawak supaya berjalan dengan lancar dan mencapai objektifnya dalam memberi manfaat kepada rakyat.

Berucap semasa Program Jelajah Integriti Siri 5/2022 Bahagian Kapit di Balai Raya Song pada Jumaat, beliau juga menyeru supaya masyarakat melaporkan kepada UNION sekiranya ada unsur penyelewengan dan salah guna kuasa di kawasan masing-masing.

Pada masa sama, Dato Dr Juanda menyeru supaya Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) memantau perkembangan projek di kawasan masing-masing dan tidak hanya bergantung dengan kontraktor semata-mata untuk memastikan ianya dilaksanakan dengan betul dan telus.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan berkata dasar dan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan di setiap agensi adalah untuk memudahkan rakyat.

Selain itu, Lidam juga menyeru supaya semua masyarakat agar peka terhadap isu jenayah dan pendatang asing di kawasan masing-masing. – EDISI UKAS

add comment