12 Institusi Pendidikan Tempatan Jayakan Expo Pendidikan Saratok

SABTU, 25 JUN 2022

SARATOK: Sebanyak 12 institusi pendidikan tempatan turut sama menjayakan program Expo Pendidikan Sarawak Peringkat Daerah Saratok yang diadakan di Dewan Masyarakat Sri Krian pada Sabtu.

Program tersebut telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik.

Antara matlamat program ini adalah menyebarkan maklumat terkini mengenai peluang pendidikan dan penajaan yang ditawarkan di Sarawak khususnya institusi di bawah kelolaan kerajaan Sarawak.

Program ini juga menyediakan pilihan kepada lepasan SPM atau STPM untuk melanjutkan pelajaran selain menyediakan khidmat kaunseling kepada pelajar bagi membolehkan mereka mendaftar memasuki institusi yang dipilih.

Ekspo Pendidikan Sarawak anjuran Yayasan Sarawak telah diadakan serentak di seluruh negeri dan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg di Kuching hari ini.

Difahamkan, program sama turut diadakan di Pejabat Daerah Kabong hari ini yang disempurnakan oleh ADUN Kabong, Mohd Chee Kadir. – EDISI UKAS

add comment