Ambil Peluang Lanjut Pengajian Di IPT Dalam Negeri

SABTU, 25 JUN 2022

MATU: Para pelajar dinasihat agar mengambil peluang melanjutkan pengajian di pelbagai Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang ada di Sarawak.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti Dan Ombudsman), Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya berkata terdapat banyak universiti dari luar negara menubuhkan cawangannya di sini untuk memberi kemudahan kepada pelajar melanjutkan pengajian mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng turut menasihati lepasan Sijil Pelajaran Malaysia untuk meneruskan pengajian dan tidak terus bekerja untuk menjamin masa depan yang lebih baik.

Nasihatnya kepada pelajar agar tidak memilih kursus yang ‘glamor’ dan bekerjaya namun perlu berdasarkan kemampuan dan pulangannya apabila memasuki alam pekerjaan nanti.

Berucap semasa Ekspo Pendidikan Sarawak Peringkat Daerah Matu 2022 di Dewan Suarah Matu pada Sabtu, Dato Dr Juanda mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Sarawak atas kesudian menganjurkan program itu di Matu.

Pada program itu, seramai 446 pelajar dari 20 buah sekolah di bawah PPD Matu Daro dan PPD Dalat menerima Baucer Pakaian Sekolah dari Yayasan Sarawak bernilai RM200 seorang dengan jumlah keseluruhan RM89,200.

Selain itu, seramai 18 pelajar cemerlang SPM 2021 di mana 10 dari SMK Agama Igan dan 8 dari SMK Matu menerima sijil dan sijil premium bernilai RM500 setiap seorang. – EDISI UKAS

add comment