Ekspo Pendidikan Sarawak Berlangsung Serentak Seluruh Sarawak

SABTU, 25 JUN 2022

BETONG: Ekspo Pendidikan Sarawak Peringkat Daerah Betong dan Daerah Pusa telah berlangsung secara serentak di setiap daerah di seluruh Sarawak. 

Perasmian telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg melalui aplikasi Zoom di Dewan Jamilah, Yayasan Sarawak, Kuching pada Sabtu. 

Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Mohammad Razi Sitam, ekspo ini mampu menjadi landasan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kursus-kursus dan bidang pengajian yang ditawarkan melalui pembabitan institusi.

“Kehadiran Yayasan Sarawak dalam ekspo juga membolehkan kita mendapat maklumat mengenai penajaan yang disediakan oleh mereka.

“Saya terharu kerana inisiatif penganjuran ekspo di semua daerah mampu mengelakkan isu pelajar tercicir untuk melanjutkan pelajaran masing-masing disebabkan soal logistik atau jauh terpencil dan sebagainya, walaupun pelajar mempunyai kelayakan yang sesuai,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Ekspo Pendidikan Sarawak Peringkat Daerah Betong dan Daerah Pusa pada Sabtu. 

Jelasnya lagi, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak masa kini, komited untuk memastikan Sarawak kekal di landasan menjadi negeri maju menjelang 2030. 

Mohammad Razi dalam pada itu menambah, langkah-langkah dan perancangan yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh Kerajaan sebenarnya untuk faedah rakyat di negeri ini.

Justeru, beliau berharap ekspo ini akan menjadi satu program tahunan supaya pelajar-pelajar sentiasa mendapat maklumat terkini dan mereka menggunakannya dan membuat pilihan yang tetap untuk memilih kerjaya yang sesuai. – EDISI UKAS

add comment