Ekspo Pendidikan Sarawak Dedah Peluang Pengajian Kepada Pelajar

SABTU, 25 JUN 2022

SARIKEI: Ekspo Pendidikan Sarawak anjuran Yayasan Sarawak merupakan inisiatif untuk mempromosi peluang pendidikan kepada pelajar khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di seluruh Sarawak.

Bukan itu sahaja, Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak juga telah menubuhkan institusi pengajian tinggi (IPT) dan pusat kemahirannya di Sarawak bagi memberi peluang kepada pelajar melanjutkan pengajian, jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Dato’ Sri Huang Tiong Sii.

Sehubungan itu, Dato’ Sri Huang mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Pejabat Residen dan Daerah kerana menganjurkan ekspo yang julung kalinya dianjurkan secara serentak di semua bahagian di seluruh Sarawak. 

Semasa merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak Peringkat Sarikei di Dewan Sentral Sarikei pada Sabtu, beliau berharap ekspo itu dijadikan program tahunan supaya pelajar-pelajar sentiasa mendapat maklumat terkini dan menjadi landasan kepada mereka membuat pilihan kerjaya yang sesuai.

Beliau dalam pada itu berharap semua pihak terutama para pelajar mengambil manfaat dari amanat yang disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa merasmikan program itu pagi tadi.

Pelbagai IPT dan agensi mengambil bahagian dalam ekspo tersebut antaranya Centexs, UTS, Swinburne, PPKS, Icats, Yayasan Sarawak, Kolej Komuniti, Giat Mara, Pelita Maslaut Sibu, Kolej Laila Taib, Curtin dan Jabatan Tanah Dan Survei. – EDISI UKAS

add comment