Generasi Muda Aset Penting Bentuk Hala Tuju Sarawak

25 JUN 2022

SIBU : Generasi muda adalah aset penting yang akan membentuk hala tuju negeri dan negara.

Demikian jelas Ahli Dewan Undangan Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek semasa berucap merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak 2022 Daerah Sibu di Dewan Kompleks Islam Sarawak Sibu pada Sabtu. 

Beliau menambah, generasi muda harus melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan selari dengan kehendak semasa, agar dapat digunapakai untuk membangunkan negeri ini. 

“Kita mahu negeri ini dibina atas titik peluh dari kalangan anak-anak tempatan. 

“Kita tidak mahu orang luar yang mengisi kekosongan berkenaan, manakala anak-anak tempatan hanya menjadi penonton sahaja,” katanya. 

Ekspo yang julung kalinya diadakan secara serentak di semua bahagian dan daerah di seluruh Sarawak dianjurkan oleh Yayasan Sarawak dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak bersama dengan Pejabat Residen Sibu dan Pejabat Daerah Sibu. 

Pada majlis tersebut, turut disampaikan baucer pakaian sekolah dari Yayasan Sarawak bernilai RM200 seorang kepada beberapa buah sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sibu. 

Selain itu, pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 juga menerima Sijil dan Sijil premium bernilai RM500 setiap seorang.-EDISI UKAS 

add comment