Generasi Muda Diingat Persiap Diri Rebut Peluang Tenaga Kerja Di Sarawak

SABTU, 25 JUN 2022

MERADONG: Generasi muda khususnya pelajar harus mempersiapkan diri merebut pelbagai peluang tenaga mahir yang diperlukan Sarawak untuk menggerakkan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, PCDS yang menjadi landasan untuk Sarawak menjadi negeri maju pada 2030 memerlukan banyak tenaga kerja yang mahir dan berpengetahuan untuk memastikannya berjaya dicapai.

Katanya, pelaburan dalam pembangunan manusia amat penting sekali sebagai aset penting untuk menjadi jentera penggerak utama dalam membangunkan negeri ini.

Sehubungan itu jelasnya, Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak telah menubuhkan pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) dan institusi kemahiran sebagai usaha membolehkan anak-anak negeri ini melanjutkan pelajaran masing-masing bagi memeuhi keperluan tenaga kerja itu nanti.

“Di sinilah generasi muda harus menyedari akan peluang yang bakal disediakan. Pastinya generasi muda akan mengisi kekosongan berkenaan yang akan menjamin kerjaya untuk mereka.

“Kita tidak mahu orang luar yang mengisi kekosongan berkenaan manakala anak-anak tempatan hanya menjadi penonton sahaja. 

“Saya yakin, langkah-langkah dan perancangan yang diperkenalkan dan dilaksanakan oleh Kerajaan, sebenarnya untuk faedah rakyat. Oleh itu, kita hendaklah menggunakan peluang ini dengan sebaiknya. Kita mahu negeri ini dibina atas titik peluh dari kalangan anak-anak tempatan.

“Generasi muda harus melengkapkan diri dengan ilmu dan pengetahuan selari dengan kehendak semasa, agar dapat digunapakai untuk membangunkan negeri ini,” katanya semasa berucap merasmikan Ekspo Pendidikan Sarawak Daerah Meradong 2022 di Dewan Masyarakat Bintangor pada Sabtu.

Katanya, inisiatif Yayasan Sarawak dengan menganjurkan program promosi pendidikan di seluruh Sarawak bertujuan memastikan semua pelajar khususnya lepasan SPM dan STPM mendapat maklumat terkini mengenai peluang pendidikan yang ada di Sarawak.

Beliau juga berharap, ekspo itu akan menjadi satu program tahunan supaya pelajar-pelajar sentiasa mendapat maklumat terkini dan memberi mereka pilihan untuk memilih kerjaya yang sesuai.

Pada majlis itu, turut disampaikan Baucer Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Sijil kepada 29 pelajar cemerlang dalam peperiksaan SPM yang terdiri daripada pelajar di SMK Tong Hua, SMK Meradong, SMK Kai Chung dan SMK Bandar Bintangor. – EDISI UKAS

add comment