Kajian Penghasilan Minyak Daripada Lumut Diketahui Dalam Tempoh Enam Bulan

SABTU, 25 JUN 2022

KUCHING: Hasil daripada kajian penyelidikan untuk menghasilkan minyak daripada sumber lumut akan diketahui dalam tempoh enam bulan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg memberitahu, hasil kajian itu akan menentukan sama ada lumut tersebut dapat dikomersialkan atau tidak.

“Sekiranya secara ekonomi ia mampu untuk maju dari sudut pengeluaran dan penanaman lumut, kita akan mengeluarkannya secara berskala besar.

“Dari situ kita dapat menghasilkan biofuel dan ia dapat digunakan oleh kapal terbang (aviation fuel).

“Kita mahu melihat sama ada minyak yang dihasilkan melalui sumber yang boleh diperbaharui ini dapat dikomersialkan.

“Jadi sekarang ini kita sedang membuat kajian penyelidikan dan mungkin dalam masa enam bulan kita boleh melihat hasil dari kajian ini.

“Sekiranya harganya berpatutan dan dapat dikomersialkan, maka kita akan mengeluarkannya dalam jumlah yang besar.

“Kita akan meningkatkannya dan dari situ kita juga boleh menghasilkan biofuel untuk kapal terbang,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Ekspo Pendidikan Sarawak di Kuching pada Sabtu.

Sehubungan itu, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari berkata, bagi melakukan penyelidikan yang mampu memberi manfaat kepada negeri ini, mereka yang mempunyai kepakaran yang berlatarbelakangkan biologi dan kimia diperlukan.-EDISI UKAS

add comment