Kestabilan Politik Kerajaan Persekutuan Penting Tarik Pelabur Asing Perkukuhkan Ekonomi Negara

SABTU, 25 JUN 2022

KUCHING: Kestabilan politik Kerajaan Persekutuan sangat penting bagi menyakinkan dan menarik pelaburan asing ke Malaysia. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, jika ketidakstabilan politik Kerajaan Persekutuan berlaku, ia pasti menghilangkan keyakinan kepada pelabur asing untuk melabur di negara ini. 

“Jika ini berlaku, tiada pengaliran wang asing masuk ke dalam negara, jadi pelabur asing tidak membeli ringgit kita kerana kurang kestabilan politik Malaysia. 

“Oleh itu, kestabilan politik di negara ini menjadi kunci dalam menaikkan keyakinan pelabur asing untuk melabur, sekaligus juga dijangka meningkatkan nilai mata wang Ringgit Malaysia,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas merasmikan Masjid Darul Naim Kampung Lintang Kuching pada Jumaat. 

Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari memberitahu, Sarawak bertuah kerana Kerajaan Sarawak telah mempunyai Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 untuk memajukan negeri ini dan sebagai pelindung kepada tempias akibat inflasi yang berlaku ketika ini. 

“Menerusi PCDS 2030 yang telah dirangka, kita sekarang masih melaksanakan projek-projek pembangunan dan ada ‘projek sakit’ kita gunakan rasio kontraktor di mana harga bahan-bahannya kita selaraskan dengan harga barangan ketika ini.

“Ini bermakna projek pembangunan kita di Sarawak akan terus berjalan dan tidak akan menjejaskan dari sudut pekerjaan. Sebab itu, kita rasa bertuah atau bernasib baik kerana kita sudah ada strategi dari sudut pembangunan dan ini telah saya jangka,” ujar beliau. 

Hadir sama di perasmian Masjid Darul Naim ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Mufti Negeri Sarawak Sohibus Samahah Datu Kipli Yassin, Yang Di Pertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datu Misnu Taha, Pengerusi Masjid Darul Naim Kampung Lintang Kuching Awang Sulaiman Awang Bujang dan Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Baru Kampung Lintang Abang Asri Abang Arifin. -EDISI UKAS

add comment