Martin Ben Rasmikan Ekspo Pendidikan Bahagian Serian

SABTU, 25 JUN 2022

SERIAN: Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Martin Ben telah menyempurnakan Majlis Perasmian Ekspo Pendidikan Bahagian Serian di Pusat Pentadbiran Kerajaan Sarawak pada Sabtu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup berkata, penganjuran ekspo secara serentak di seluruh bahagian dan daerah Sarawak tersebut merupakan julung kali diadakan dan telah disempurnakan menerusi aplikasi ‘Google Meet’ oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.

Jelasnya, inisiatif yang diperkenalkan oleh Premier Sarawak terbukti berjaya dan memberi manfaat serta faedah kepada semua pihak.

“Usaha Kerajaan Sarawak menerusi Yayasan Sarawak bagi menganjurkan promosi pendidikan adalah merupakan satu usaha untuk memastikan semua pelajar mendapat maklumat terkini mengenai peluang pendidikan yang ada sekaligus memastikan anak Sarawak berupaya melanjutkan pembelajaran yang bercorak akademik dan kemahiran,” katanya.

Sementara itu, Martin turut berkesempatan mengucapkan tahniah kepada pelajar yang telah menunjukkan kejayaan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dan juga mengucapkan tahniah kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebakang yang mencatatkan keputusan terbaik di bahagian Serian.

Dalam program sama, beliau bersama ADUN Bukit Semuja, John Ilus menyampaikan Sijil Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2021 dari Yayasan Sarawak kepada 21 orang pelajar. -EDISI UKAS

add comment