BIDA Akan Terus Bincang Lebih Banyak Keutamaan Untuk Pembangunan

AHAD, 26 JUN 2022

SPAOH: Lebih banyak perbincangan akan diadakan untuk membincangkan keutamaan pembangunan di bawah Agensi Pembangunan Bersepadu Betong (BIDA).

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, sebelum ini perbincangan awal telah diadakan bersama wakil rakyat dan agensi kerajaan di Bahagian Betong.

“Untuk perbincangan seterusnya pihak BIDA akan menjemput ketua masyarakat.

“Ini penting bagi mendapatkan input berkaitan dan penting daripada semua pihak,” ujarnya semasa Majlis Sambutan Gawai Dayak Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) cawangan N.37 Bukit Saban dan Program Ziarah UKAS 2022 di Dewan Masyarakat Spaoh, pada Ahad.

Majlis itu dianjurkan bersama PBB Cawangan Bukit Saban dan UKAS bahagian Betong.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban menambah, BIDA yang baharu diwujudkan itu telah diperuntukan dana sebanyak RM1.5 bilion.

“BIDA perlu membuat keputusan untuk pekara utama kerana kita mahu proses pembangunan termasuk bidang sosio ekonomi dipercepatkan demi menjana pendapatan rakyat,” tambahnya.

Dalam pada itu, Datuk Amar Douglas berkata, BIDA merupakan hadiah daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sebagai menghargai penduduk Betong atas sokongan padu yang berterusan terhadap kerajaan.

Jelasnya, pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 baru-baru ini, penduduk di bahagian itu sekali lagi memberikan sokongan padu kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di kerusi DUN Layar, Bukit Saban, Saribas, Krian, Beting Maro, Kalaka, kabong dan Lingga.

“Penumbuhan BIDA adalah merangkumi semua DUN ini, sebahagian daripada Parlimen Lingga, Betong dan Lupar.

“Kita berharap pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, rayat akan terus memberikan sokongan padu yang sama kepada calon GPS di Parlimen Betong dan Batang Lupar.

“Abaikan mereka yang lain dan bersifat oportunis tanpa agenda praktikal,” katanya.

Sementara itu, mengenai sektor pertanian, Datuk Amar Douglas sekali lagi berharap penduduk dapat menjalankan aktiviti ternakan termasuk ternakan ikan kolam.

“Saya sering memberi nasihat yang sama namun setakat ini tidak ramai yang melakukannya.

“Potensi komersial adalah sangat baik dengan permintaan terhadap daging dan ikan yang sentiasa bertambah.

“Selain kerajaan boleh membantu usaha ini melalui pemasaran, kita juga bakal mempunyai lapangan terbang di Bebuling yang memudahkan lagi pasaran untuk sektor pertanian,” jelasnya.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dr Richard Rapu dan Pegawai UKAS bahagian Betong, Tony Malang. -EDISI UKAS

add comment