Masyarakat Di Mukah Mahu PJKM Diteruskan

AHAD, 26 JUN 2022

MUKAH: Masyarakat di Mukah menyambut baik dan mahu Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) diteruskan secara berkala untuk membantu meringankan beban ekoran kenaikan harga barangan di pasaran.

Menurut Timbalan Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hanifah Hajar Taib beliau amat mengalu-alukan perlaksanaan PJKM kerana ia memperlihatkan keprihatinan pemimpin terhadap keperluan dan keadaan rakyat.

Beliau juga senada mahu program itu diteruskan pelaksanaan di Mukah agar rakyat terus menikmati harga barangan yang lebih murah.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, kerajaan Malaysia, Menteri dan Timbalan Menteri, KPDNHEP kerana memberikan kesempatan meringankan beban rakyat dengan jualan makanan dan keperluan dengan harga yang lebih murah.

“Kami amat mengalu-alukan dari segi perlaksanaan ini kerana ia adalah satu sentuhan dari segi bagaimana pemimpin prihatin dengan keperluan rakyat dan memahami keperluan rakyat,” katanya kepada Unit Komunikasi Dan Penerangan Sarawak (UKAS) semasa meninjau PJKM di Tempat Letak Kereta, Nam Leong, Dalat baru-baru ini.

Beliau menambah, Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan mencukupi untuk memenuhi keperluan orang ramai dari semua lapisan rakyat.

Sementara itu, Timbalan Pengarah KPDNHEP Sarawak Peter I. Berinus Agang berkata pihaknya akan menyelaraskan program jualan ini mengikut keadaan setempat terutama selepas hari gaji agar penduduk boleh membeli barangan yang dijual.

KPDNHEP Mukah sebagai penyelaras program telah mengadakan enam kali PJKM di Parlimen Mukah, dua kali di Parlimen Igan dan sekali di Parlimen Tanjung Manis.

Terdahulu, Dato Hanifah telah melawat ke Tapak Program Pemuliharaan dan Kebersihan Pantai Kala Dana iaitu ‘Pantaiku Sejahtera’ bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine.

Pada masa sama, Dato Hanifah menyaksikan simbolik penyerahan sumbangan tong sampah untuk ditempatkan sekitar Tapak Kaul Mukah oleh Sarawak Energy Bhd (SEB) kepada Majlis Daerah Dalat dan Mukah. – EDISI UKAS

add comment