Minda ‘Subsistence Farming’ Perlu Diubah, Pertanian Moden Lebih Menguntungkan

AHAD, 26 JUN 2022 

MUKAH: Golongan petani perlu keluar dari zon selesa dengan mengubah corak pertanian untuk kegunaan sendiri atau ‘subsistence farming’ dan beralih kepada pertanian moden yang membawa keuntungan yang besar.

Menteri Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah (PPPW), Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom menegaskan ‘subsistence farming’ yang telah menjadi sebahagian daripada kehidupan petani menjadikan golongan itu kekal berada di bawah paras kemiskinan.

Dalam hal ini, beliau menyeru para petani agar mengambil peluang masalah ‘Food Security’ yang turut berlaku dalam negara dengan menerokai pengeluaran makanan secara besar-besaran dengan mengaplikasikan teknologi-teknologi terkini.

Jelasnya, tanaman kontan boleh diterokai dengan pengeluaran secara besar-besaran seperti kelapa, nanas dan pisang kerana ia mempunyai nilai komersial yang tinggi.

Selain itu katanya, kajian juga perlu diteruskan terhadap produk sagu sambil menyarakankan kepada petani untuk mengadakan kerjasama dengan pemain-pemain utama dalam industri termasuk dari luar negara.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan Perjumpaan Bersama Pekebun-pekebun Kecil Nanas, Dalat di Pusat Penyelidikan di Sungai Talau yang turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat, Dato Sri Hajjah Fatimah Abdullah pada Rabu.

Tambahnya, agro industri makanan ini harus memiliki keyakinan bahawa hasrat untuk menjadi Sarawak sebagai pengeluar atau pengeksport utama makanan pada 2030 boleh direalisasikan jika komuniti bersedia berubah dan mengaplikasikan teknologi atau kaedah pertanian moden yang diaspirasikan oleh Kerajaan Sarawak. – EDISI UKAS

add comment