NREB, JAS dan Majlis Daerah Kapit Anjur Kempen Pengumpulan BEE 2022

AHAD, 26 JUN 2022

KAPIT: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sarawak dengan kerjasama Majlis Daerah Kapit telah menganjurkan Kempen Pengumpulan Buangan Elektrikal dan Elektronik (BEE) 2022 di perkarangan Pejabat Majlis Daerah Kapit pada Sabtu.

Program disertai sekitar 15 peserta itu bermula dari jam 8 pagi hingga 2.20 petang untuk mengumpul bahan BEE dan dilupuskan atau dikitar semula dengan mematuhi peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974) oleh pihak Kontraktor. 

Kempen pengumpulan BEE 2022 telah dilancarkan pada 23 April 2022, oleh Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng sempena sambutan Hari Bumi.

Ia akan dijalankan sepanjang tahun 2022 di beberapa lokasi seluruh Sarawak menyasarkan penglibatan daripada masyarakat setempat dan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Setakat Mei 2022, kempen ini telah berjaya mengumpul buangan sebanyak 94 metrik tan.

Buangan Elektrikal dan Elektronik (E-waste) merupakan peralatan elektrikal dan elektronik (laptop, desktop, printer, mobile phone, washing machine, air-conditioner, refrigerator, etc.) di rumah, pejabat, industri atau premis yang telah rosak, usang dan tidak dapat digunakan lagi.

Selain itu, kempen ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang bahayanya buangan BEE (E-waste) kepada alam sekitar dan mempromosikan kaedah pengedalian dan pelupusan BEE yang selamat dan mesra alam kepada komuniti setempat. 

Pada masa sama, ia merupakan seruan kepada rakyat untuk bersama-sama bertanggungjawab dalam memastikan kelestarian alam sekitar di negeri ini.

Melalui kempen ini juga diharap dapat menggalakkan ekonomi kitar semula (circular economy) barangan BEE dipulih guna (recovery) dan kitar semula.- EDISI UKAS

add comment