Perusahaan Inap Desa Penyumbang Ekonomi Penduduk Pantai Belawai

AHAD, 26 JUN 2022

BELAWAI: Perusahaan Inap Desa atau ‘Homestay’ semakin mendapat sambutan dan menjadi penyumbang kepada ekonomi penduduk di Pantai Belawai.

Ia berikutan pelbagai perancangan pembangunan di Pantai Belawai yang akan dilaksanakan seperti yang telah diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg pada majlis Ramah Tamah Melanggar Raya pada Mei lalu.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh menyokong mana-mana individu khasnya dari Belawai yang mahu menceburi bidang ini.

Beliau juga menyambut baik inisiatif dan minat penduduk di kawasan DUN Kuala Rajang dan bersedia membantu supaya ekonomi serta pendapatan penduduk dapat ditingkatkan.

Datu Len berkata demikian semasa menangguhkan Program Tourism Awareness di Iftitah Beach Resort pada Sabtu yang disertai 35 orang penduduk dari Kampung Rajang, Jerijih dan Belawai.

Program tersebut telah dianjurkan oleh Kementerian Perlancongan, Seni dan Budaya, Sarawak.

Ia memberi tumpuan khusus tentang keperluan, perkhidmatan serta pengalaman dalam menyertai industri berkenaan melalui taklimat yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Tadbir Jimba Sirit dan Pembantu Tadbir Aaron Khoo Wan dari Pejabat Kementerian Perlancongan Seni dan Budaya Sarawak.

Terdahulu, Datu Len sempat mengadakan lawatan ke projek bangunan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Tanjung Manis, setinggi 16 tingkat yang hampir siap.

Beliau berpuas hati dengan perkembangan projek tersebut dan yakin ianya akan menjadi mercu tanda pembangunan Tanjung Manis apabila siap sepenuhnya kelak.

Hadir sama Pemangku Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah bersama Ketua-ketua Kaum. – EDISI UKAS

add comment