PIBG Digesa Main Peranan Dalam Pembangunan Fasiliti Pendidikan

AHAD, 26 JUN 2022

DARO: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) digesa agar memainkan peranan yang aktif dalam kerjasama antara pihak sekolah dan pemimpin bagi membangunkan fasiliti pendidikan.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, pemimpin peringkat kampung bersama warga pendidik juga harus peka dengan isu yang melibatkan pendidikan di kawasan masing-masing terutama isu pelajar tercicir.

Katanya, Kerajaan Sarawak telah menyediakan pelbagai bantuan untuk memudahkan pelajar kita melanjutkan pelajaran seperti Yayasan Sarawak, Baitulmal dan banyak lagi.

Malah, Sarawak katanya juga mempunyai banyak universiti tempatan yang tidak kurang hebatnya dan berharap pelajar di sini juga mengambil peluang keemasan ini.

Beliau dalam pada itu berharap, pelajar yang hadir pada program itu mempunyai azam yang tinggi untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi demi mengubah nasib keluarga.

Datuk Abdullah berucap demikian semasa merasmikan Ekspo Pendidikan Peringkat Daerah Daro 2022 pada Sabtu yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad.

Pada majlis sama, Datuk Abdullah juga berkesempatan menyampaikan insentif kepada pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dari SMK Semop.

Selain itu, turut disampaikan Baucer Bantuan Pakaian Seragam kepada 22 buah sekolah di daerah Daro yang melibatkan seramai 450 orang pelajar berjumlah RM90,000.

Seramai 250 pelajar dari SMK Semop dan SMK TPDPH Normah, Daro termasuk Ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat menghadiri program itu yang diadakan di Dewan Masyarakat Daro. – EDISI UKAS

add comment