Ekspo Pendidikan Penting Bantu Pelajar Lepasan SPM Dan STPM Pilih IPT Sambung Belajar

ISNIN, 27 JUN 2022

TELANG USAN: Ekspo Pendidikan anjuran Yayasan Sarawak dapat membantu pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk membuat pilihan institusi pengajian tinggi terbaik bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau dalam ucapan perasmian Ekspo Pendidikan Daerah Telang Usan, beliau berkata ekspo tersebut penting untuk pelajar memilih Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang sesuai untuk melanjutkan pembelajaran mereka selain mempunyai pilihan samada untuk memilih bidang akademik ataupun kemahiran.

Teks ucapan beliau telah dibacakan Pegawai Daerah Telang Usan, Baru Tai pada Sabtu.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Yayasan Sarawak serta semua agensi yang telah berjaya melaksanakan program tersebut di daerah Telang Usan.

“Yayasan Sarawak banyak memainkan peranan penting dalam memberi bantuan berbentuk biasiswa atau pinjaman kewangan kepada pelajar yang layak,” kata beliau lagi.

Dalam majlis sama, telah diadakan penyerahan Baucar Bantuan Pakaian Seragam Sekolah kepada 19 buah sekolah melibatkan 17 buah sekolah rendah dan dua sekolah menengah.-EDISI UKAS

add comment