FFI Cadang Bina Kilang Pengeluaran Hidrogen Hijau Di Sarawak

ISNIN, 27 JUN 2022

PERTH, AUSTRALIA: Timbalan Perdana Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengetuai delegasi Sarawak melawat ibu pejabat Fortescue Future Industries (FFI), di sini pada Sabtu.

Dalam lawatan dua jam itu, Datuk Amar Awang Tengah dan rombongan telah diberikan taklimat mengenai cadangan FFI untuk menyediakan kilang pengeluaran hidrogen hijau di Sarawak.

Tegas beliau lagi, Sarawak sentiasa mengekalkan suasana pelaburan yang menarik untuk menjadikan Sarawak mesra pelabur.

“Kami menyokong cadangan projek ini kerana ia selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang bertujuan untuk memartabatkan Sarawak menjadi ekonomi berpendapat tinggi menjelang 2030 melalui kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Ujar beliau lagi, pemanasan global telah mempercepatkan penggunaan teknologi yang lebih hijau dan Perang Rusia-Ukraine juga telah mempercepatkan langkah ke arah sumber tenaga hijau alternatif, dan bukannya bergantung kepada bahan api fosil.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Datu Abdullah Zaidel, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak Dzulkornain Masron, Penasihat MINTRED Datuk Naroden Majais dan Pegawai Khas MINTRED Datu Liaw Soon Eng.

add comment